Tuesday, July 12, 2005

Rumah Kecil Kami

RUMAH KECIL KAMI. Ya itulah rumah yang ditukangi ayahku. Tiba-tiba saja ayah membawa pulang beberapa batang kayu, beluti mungkin kayu meranti atau mungkin saja cengal. Betulkah begitu. Itulah cerita ibu, bila sejak aku dilahirkan, Busu Ajin, adik bungsu ibu tidak suka dengan tangisan. Dua beradik ini bertengkar hanya kerana kebisingan si Siti Kecil yang katanya menangis melalak setiap pagi ,bersambung di senja hari. Dengan ketabahan seorang lelaki muda, ayahpun mula bertukang. Menegakkan lapan tiang, menyusun lantai, menaikkan alang, menyilang kekuda, menyusun atap berdirilah rumah bujang, anjung memanjang, tangga berdiri kukuh, beranak  tujuh. Gembirakah ibu, melarikan puteri kecilnya meninggalkan rumah nenek, tempat si Siti Kecil lahir sebulan lalu. Demikian ibu kembali mengingatkan detik ayah mendirikan rumah gara-gara si Siti selalu  menangis, bagai meminta ingin punya rumah sendiri…memang si siti kecil menangis tapi  sebenarnya  dia berzikir, meniru zikir abah sepanjang subuh menjelang pagi.  Si Siti Kecil menyanyi didengar busu Siti terus menangis. Kasihan ibu, tidak tahu aku menyanyi sepuas hati!.
Posted by Siti Zainon Ismail at 08:19:24 | Permalink | No Comments »

puteri gombak

PUTERI GOMBAK ini dilahirkan di Batu  4 1/4 Jalan Gombak pada 18 Disember  1949. Menghirup udara  kampung kecil di pinggir Sungai Gombak. Sejak kecil ia menapak berjalan kaki ke Sekolah Rendah Setapak sebelum mengikut orang tuanya  merantau ke Kota Bharu, Kelantan. Di situlah bermulahnya ia menghirup nafas seni. Mendengar gesek  rebab, titir geduk gedombak wayang kulit , mencolek warna sarung batik. Sayup-sayup dinihari ia mendengar kicau burung kakak tua di pohon tua di belakang rumah sewa keluarganya di Jalan Teliput.Sesekali dikutipnya taburan buah keranji mengutip butir buah jambu batu, sehingga ibunya Bainah Haji  Hussin selalu kebingungan marah melihat pakaian puteri kecilnya comot bergetah buah. Dia  kemudian dihantar pulang ke Gombak kerana harus bersama neneknya Habibah Haji Husin Majolelo. Di Kampung Paya (kini Kampung Bandar Dalam) inilah dia kembali bertemu teman-teman sepermaian,  Baini, Aini, Nurhaya, tetapi kerana anak tunggal dia selalu alah bergaduh cara anak-anak kampung. Dia menjadi pendiam, malu. Ayahnya Ismail bin Talib Batubara masih sendirian sejak berpisah dengan ibu. Lelaki ini hanya seorang buruh keretapi di Sentul. Mengayuh basikal selepas subuh dan pulang selepas asar. Kalau keluarga jauh datang bertandang, si kecil Siti akan berlari sembunyi di belakang pintu.  Bila nenek bertanya kenapa - lalu jawabnya, ” Izan hanya keluar jumpa orang kalau sudah jadi orang bijak pandai”. Itukah cita-cita si kecil Izan, puteri Gombak sejati.

Ya di situlah bermula dia melangkah dengan sarat cita-cita, ingin menjadi manusia berguna. Itu juga pesan neneknya, ” Kalau nak jadi orang berguna harus rajin sekolah”. Melangkahlah si kecil ini ke sekolah:

Sekolah  Rendah Setapak , Kuala Lumpur (1955-1956), Sekolah Rendah Langgar Kota Bahru,  Kelantan (1956-1957), Sekolah Rendah Setapak (1958-1961), Sekolah  Menengah Jalan Cochrane, Kuala Lumpur (1962-1963), Sekolah Menengah  Aminuddin Baki, K.Lumpur (1964-1968), Akademi Seni  Rupa Yogyakarta (ASRI 1970-1973/ B.FA 1974), Universiti Kebangsaan Malaysia (1976-1979/ M.A 1980) dan Universiti Malaya (1985-1990/Ph.D 1992). Ya Siti sudah berani keluar dari balik pintu dan kini berdiri bersama anak bangsanya ORANG MELAYU menapak SARWAJAGAT DUNIA ANUGERAH -NYA!   

 

se

   

Posted by Siti Zainon Ismail at 07:36:22 | Permalink | No Comments »