Friday, September 30, 2005

RUMAH DAUN AFFANDI

1970

RUMAH DAUN AFFANDI. Di pinggir Jalan Solo  menuju  Candi Prambanan, berhadapan IAIN, tersergam bangunan gua sebagai galeri dan rumah tinggi beratap potongan daun. Ya potongan atapnya selain menggunakan kulit kayu, potongan juga seperti sehelai daun, telungkup. Kononya ketia beliau di India sehelai daun jauh didepannya sehingga beliau tertarik dengan contoh daun yang dianggap berkah. Rumah kayu bertiang batu kukuh menyendeng. Beberapa tiang kayu sebagai penyokong  berukiran karya Cokot dari Bali, memang terasa unik  reka bentuknya. Di rumah itulah aku dikenalkan dengan Affandi dan isterinya, Maryati. Akupun memanggil Affandi sebagai Akik dan Ninik meniru apa diucapkan oleh Helfi, Sila, Lulu, Bambang, anak Kartika dengan Saptohoedoyo.Akik masih aftif melukis. Kadang berminggu di Bali melukis sapi, babi, kereta lembu dan berjemur di pantai Sanur. Tetapi bila Akik di rumah daunnya, akupun tidak mahu lepas peluang ‘berguru’ dengannya.  Namun beliau adalah pelukis yang aneh, tidak berbakat sebagai guru, kerana jarang sekali mahu bercakap kalau melukis. Kanvas sudah direntang oelah pembantunya. Cat-cat sudah beratur  di sisinya. Sesi melukis begitu cepat dan penuh tenaga. Terdengar wap nafasnya seakan menggelegak, tangan terhulur menyambut cat dari tangan pembantu. Tanpa melihat warna cat, sebaliknya dengan sapuan bebas dengan telapak tangan, spontan, dan bagai sudah dimaklumi pembantunya. Warna mengalir, meloncat, meletup dari bibir tiub. Itulah gaya ekspresionisme pelukis dunia yang justeru membentuk kefasihan aliran ini ketika beliau mula bertapak di   Tanah Inggeris dan Amerika. Tambah Ninik, ” Kalau Akik sudah ngeluyur dan kesurupan, lukisannya segera akan selesai begitu…dan sebentar Akik sudah lupa diri dan telentang dan tidur begitu saja..” Kesurupan? Aneh hatiku berdetik.  Tetapi begitulah. Petang itu, sepasang ayam jantan sedang bertarung, berkacakaran, dan bulu- bulu berterbangan. Itulah lukisan ” Sabung Aym “. Di lain hari, kuhabisi penetilitan di galeri guanya. Sebuah lukisan dengan lataran menara Effiel di Paris, Gerobak Jawa, masih belum memberi jawaban untuk kujelaskan dalam hatiku sendiri. Aku baru  tiga bulan di Yogya, sehingga bila masuk ke kampus ASRI, lukisanku tiba-tiba bergaya goresan liar seperti Affandi. Fajar Sidik menggelutuk menuduhku, ” Ini ciplak melulu, maaf, lukisan anda gagal “. Norma Tarigan berbisik, ” Tadi pesan Pak Fajar, Jangan selalu nonton Affandi  melukis, nanti kita kesurupan juga  lho”  . Untuk lulusan saringan lukisan berwarna, aku mula menginsafi, harus mencari gaya sendiri. Tetapi kenapa Kartika terus meniru gaya Affandi? ” Dia anak pelukis itu, bolehlah “. Anehnya,  Ninik yang juga melukis lebih sedar, dengan gaya sulaman, menolak penggunaan cat sebaliknya, melukis dengan jarum dan benang. Sejak itu aku jarang menonton Affandi melukis. Rumah Daun pula tetap memberi perlindungan kalau aku bermalam di galeri peukis itu. Di situ juga aku menatap jemari ekspreionis pelukis tersohor Indonesia, mendiami rumah berbentuk daun, dan menerobos ke galeri gua ajaibnya dunia seni lukis Affandi!           

Bangi, 30 September 2005, 15:19  

Posted by Siti Zainon Ismail at 08:05:35 | Permalink | Comments (2)

Wednesday, September 28, 2005

RUMAH DI JALAN CILACAP

1969

RUMAH DI JALAN CILACAP. Jakarta menyambutku dengan suasana meriah sekali. Kenapa tidaknya, gadis kecil renceng dengan blouse putih beropol di leher dan hujung lengan baju, berskirt  corak petak hijau gaya Scottland, dengan tangan kanan menenteng beg taip kecil, rambut pendek lurus, berkaca mata, akulah yang bergaya seenaknya turun dari fokker di sambut seorang tokoh berseragam TNI  Kolonel Achfas. Setelah berkenalan dengan  Saptohoedoyo di rumah Frank Sullivan di Kuala Lumpur, pelukis menantu Affandi inilah yang menyaranku agar berani belajar seni lukis di Yogyakarta.  Ayah Dielah yang mengenalkan aku dengan pelukis itu. Tetapi peristiwa 13 Mei merobah perjalananku. Seharusnya aku berangkat ke Yogyakarta setelah Saptohoedoyo selesai pameran lukisan pada bulan minggu pertama Mei. Tetapi peristiwa 13 Mei, membuatkan pelukis itu segera meninggalkan Kuala Lumpur, dengan secarik pesan, ” Kalau Zainon ingin datang belajar,  hubungi saudara saya, Kolonel Achfas di Jakarta ” . Inilah perjalanan pertamaku, mengirim surat lengkap dengan foto, berserta tarikh berangkat. Ayah Die sudah mendapatkan surat izin belajar dari Kementerian Pelajaran. Mendapatkan alamat Persatuan Pelajar Malaysia di Jakarta, seterusnya aku merapikan sijil, mengirim surat permohonan ke ASRI, beberapa contoh lukisan hitam putih dan batik, potongan surat kabar dengan judul ” Zainon ingin jadi pensyarah seni”, cukup sebagai bukkti untuk ikut testing masuk ke ASRI. 26 Oktober akupun menjabat erat tangan Kolonel Achfas, orang yang tidak kukenali kecuali oleh tanda nama di sebelah kiri. Lelaki berambut pendek setengah ubanan, dengan pakaian seragam hijau, dengan lapisan lencana pangkat berderet di dada kanan, di bahu kiri kanan, dengan langkah perkasa datang menghampiri ku sikecil , tiba mendakapku erat. Setengah terkejut, aku tersentak, tapi cepat sedar, aku sudah diterima oleh lelaki seperti ayah itu. Itulah juga surat pesan pelukis Saptohoedoyo,  ” Nanti di Jakarta, tinggal dulu di rumah Jalan Cilacap.”

Di rumah batu, besar agam potongan  Belanda aku pun dikelilingi oleh enam orang putera-puteri Oom Achfas. Aku sikecil anak tunggal, baru beradik selepas berusia 8 tahun, memang gagap dikelilingi dengan keriuhan dan kelincahan muda-mudi Jakarta tahun 1960an. Hidup gaya ago-ago sedang melanda seluruh bumi Asia. Dan aku yang hanya mengenali suara Beng Selamat, Anekke Gronlo dan Sandra penyanyi peranakan Indo, tidak lebih dari itu, kecuali Soekarno dan pengetahuan sejarah sastera dari  Sutan Takdir Alisyahbana dan Mochtar Lubis, kini berhadapan dengan keluarga elit tentera gaya Jakarta. Lucky,  putera sulung berambut gondrong mahasiswa UI, mula menjalin persahabatan. Suaranya kudengar, ” Kok mahu kuliah di Jogya, kota antik itu, ayoh dong, kuliah ajee di Jakarteee! ” Wah ini dialek apa ni. Suara ber’lu’ ‘ber’gue’ memenuhi ruang meja makan.  Ya Tuhan, inilah pertama kalinya duduk semeja makan dengan jumlah hampir sepuluh orang. Dengan hidangan nasi, berkuah sayur asam, sambal lodeh, acar timun, opor ayam, dan tentunya yang aneh ketika itu makan dengan sudu tanpa garpu.Suara memang ramah dan mesra. Tambah Oom Achfas, ” Izan anak tunggal ya, jangan takut dengan keluara besar Oom dan Tante. ” Tante pun menyodor keropok. Sesekali beliau mengarah pembantu untuk aku meratah tempe dan tahu. Katanya ” Nanti di  Yogya, Izan harus makan tempe !”

Bagaimakah  dengan pelajar Malaysia yang pernah kuhubungi sebelum datang ke Jakarta? Telah tiga hari aku masih dihantar ke sana ke sini oleh keluarga Achfas . Sekali di bawa ke Sarinah. Tapi aku hanya jadi penonton biasa. Bakal pelajar yang berani merantau walau tanpa biasiswa. Antje puteri Oom Achfas mengenalkan aku dengan Tuti  yang bertugas di butik di hadapan rumah . Di situ juga buat pertama kali aku menikmati makna butik yang nyaman persekitarannya. Dengan ruang taman berkonsep Bali, berpayung di tangga dan disambut dengan dua patung, memakai sarung bercorak hitam putih.   Gamelan Bali memenuhi ruang butik. Aku belum terbayangkan bagaimanakah latar Bali sebenarnya. Tuti juga bersungguh ingin mengajar aku menari. 

Di hari Sabtu malam Minggu, inilah detik ujian pertama anak rantau yang masih kolot dengan kegiatan sosial kota metropolitan  Jakarta. Sewaktu sarapan, Oom Achfas berpesan, ” Nanti sore kita buat pesta dansa , meraikan ratu cantik mahasiswa UI, ingin ikut, kita raikan juga kedatanganmu. Pelajar Malaysia di  AIP juga akan datang, tentu Izan dapat kawan baru”. Pesta dansa ? Ya Tuhan, sedang di K.L saja aku tida berani ke pesta apa lagi dengan acara tari menari.  Si gadis kecil ini mula gementar, malu dan selebihnya aku belum berani masuk ke dunia sosial  kota ini.

Petang, jam lima, sibuklah keluarga ini merapi ruang tamu. Kerusi meja di ketepikan.  Meja makan sudah di letak di pinggir kolam. Ruang dansa sudah sedia. Kemudian loripun tiba memungguh alat muzik, drum dan kotak-kotak gitar. Gelisahku makin ketara sehingga sekali lagi muncul Lucky, ” Izan nanti malam, mahu dansa denganku , okey!”. Dansa?

Menjelang pukul tujuh, aku mula susup sasap ikut jalan samping menuju ke halaman  dan cepat menahan beca. ” Pak, hantar ke Salemba ya! ” Salemba, Salemba, di situlah  rumah yang dapat menyelamatku dari pesta dansa. Ke rumah Hamadah pelajar Malaysia. Ya aku bermalam di rumah Selemba. Minggu pagi baru aku muncul di Jalan Cilacap. Wajah Oom dan Tante terkejut, ” Kemana Izan pergi dan bermalam di mana? ” Aku merasa malu dan bersalah juga kerana keluar rumah tidak minta izin dari mereka. Dari belakang kudengar tapak kaki melangkah dan menghampiriku. Sesusuk wajah cerita cantik menyentuh bahuku, ” O, ini dia anak baru kita sudah tiba, ayoh, minggu depan kita pulang Yogya ndhok ! “  Kartika mencium pipiku, kudengar suaranya lembut, ” Mahu jadi pelukis ya, ya memang cocok belajar di Yogya!”

Bangi, 28 September 2005,15:44 

AIP = Akademi Ilmu Pelayaran, ndhok (Jawa) = anak kecil,Oom (Belanda)= Pakcik, Tante (Belanda) = Makcik, TNI= Tentera Nasional Indoensia, UI = Universitas Indonesia.

 

 

              

Posted by Siti Zainon Ismail at 07:37:25 | Permalink | No Comments »

Monday, September 26, 2005

RUMAH MESEN TAIP

1963

RUMAH MESEN TAIP. Lucukah nama rumah ini? Ya inilah rumah baru kami di flat 4 tingkat di kepala simpang Jalan Gombak selepas melalui Jalan Pahang, berhadapan Balai Polis Setapak. Siapa saja yang masuk ke Jalan Gombak, akan dapat melihat flat 4 tingkat yang pada awal tahun 1960an memang  langka sekali. Dengan sewa RM 180.00 sebulan, rumah ini memang termasuk mewah. Tiga biliknya luas dan  besar, dengan ruang tamu yang luas, anjung yang menghadap jalan raya, kamipun turun naiklah ke rumah itu. Itulah rumah yang pertama Mak dan Ayah Die sejak kembali semula ke Kuala Lumpur setelah membawa diri ke Kota Bharu (1956-1960) dan Johor Bharu (1960-1962). Akupun dibenarkan bergabung dengan enam orang anak-anak Ayah Die dan adikku seibu, Adik Wati dan Yen.

Ayah Die tetap sibuk dengan perniagaan barunya, sebagai agen mesen tapi. Sejak itulah aku bebas menyentuh mesen ajaib itu sebagai landasan awal untuk menjadi penulis. Satu petang Die membawa contoh mesen taip. Dan akulah yang dipanggilnya untuk memilih mesen taip . Aku masih buta sekali dengan jenis mesen ajaib itu, sebaliknya memilih model dengan nama yang sesuai dengan seleraku. Maka sejak itu, kamipun mempunyai mesen taip bernama Olympic. Aku juga antara adik-adikku yang dibenarkan , menyentuh dan ‘mengetik’ huruf-huruf yang kerap melantun, ke atas, sebelum menyentuh kertas hingga keluar abjad-abjad yang mempersonakan. Aku baru berada di tingkatan tiga. Tapi aku sudah membelai mesen taip. Sedang kawan -kawan baru bercita-cita untuk ikut kelas menaip dan trengkas kalau selesai peperiksaan, tapi  aku sudah mengetik beberapa sajak pendek yang kerap kurahsiakan dari pengetahuan ayah Die ataupun Mak.    

Ayah Diepun turun segak setiap pagi, berbaju kemeja lengan panjang, bertali leher, membawa beg penuh dengan buku panduan tentang mesen taip. Beberapa orang turun naik juga ke rumah kami, di tingkat 4, turut minum petang, sambil mereka merancang acara perniagaan mesen taip. Aku mengintai di celah-celah ruang antara bilik dan ruang tamu.  Kadang pura-pura menghantar cawan teh sedang mataku asyik dengan katelog  yang mempamerkan berbagai rupa mesen taip. Ayah Die tahu aku selalu mengintai, sehinggalah di hari yang amat menakjubkan itu, Ayah Die sendiri menyodorkan katelog itu dengan senarai harga setiap satu, tidak kurang daripada RM 300.00. Lidahku kelu untuk menyatakan bahawa aku ingin beli mesen taip apalagi meminta Abah membelikannya. Cuma suara Ayah Die selepas itu melegakan perasaanku, ” Kita akan beli satu lagi mesen taip, satu untuk pejabat Die (juga di rumah itu), satu untuk rumah kita”.Aku ingin melonjak bahagia. Ya aku amat bahagia bahawa kami akan menambah rumah baru lagi, ‘rumah mesen taip’ kami. Kini setiap kali melalui Jalan Gombak, flet 4 tingkat itu masih utuh dan setia selalu menatap aku yang kerap kaki melambai  ke rumah  mesen taip itu !

Bangi, 26 September 2005, 16:23 

Posted by Siti Zainon Ismail at 09:25:11 | Permalink | No Comments »

RUMAH SENTUL DALAM

1968

RUMAH SENTUL DALAM. Aku sudah bosan memikirkan jumlah rumah kami. Beberapa kali Mak berpindah entah kenapa dan mengapa , tidak mahu kufikirkan. Mungkin tidak bayar sewa, mungkin mencari yang lebih murah. Tapi bila pindah ke rumah di Sentul Dalam, bersebelahah dengan stesyen dan pejabat bas Serijaya, aku senang juga di situ. Rumah flat dua tingkat. Rumah kami berbilik tiga di sebelah bawah. Bahagian atas disewa oleh konduktor bas. Di depan berbatas dengan padang tentera yang dikawal duapuluh empat jam. Aku kembali menyatu dengan Mak, dan meninggalkan nenek di kampung asal yang jaraknya hanya  tidak sampai  dua batu . Tapi aku tetap mengunjungi Nenek setiap hari Sabtu-Minggu. Alasan kembali bersama Mak, agar  hidupku untuk belajar lebih teratur. Aku sudah masuk ke tingkatan enam, dan harus lebih serius belajar dan berulang ke sekolah ddi Kampung Pandan , ke perpusatakaan British Council, ke Balai Seni Lukis  di   Jalan Ampang dan juga ke Dewan Bahasa dan Pustaka.  Hidup mula terasa susah. ayah Die sudah tidak mempunyai jawatan tetap  dan perniagaan juga tidak jelas. Wan Tam dan Nuar berkumpul semula dengan kami sedang anak-anak ayah Die yang lain sudah diambil ibu asal mereka sejak kami menempati rumah di  Batu 4 Jalan Gombak sebelum berpindah ke Teluk  Anson.  Aku masih sibuk juga. Kadang ingin jadi  pelukis kadang ingin jadi penulis. Lukisan sudah tetap dihantar ke Kampung Bharu, ke IBHAS Studio, milik Cekgu Idris Salam. Uncle Naz Achnas  tetap membayangkan, aku akan jadi pelukis tapi bila sesekali muncul Bung Dollah Hussien, tiba-tiba aku mula pula untuk menjadi penulis. 

Hidup manusia itu ibarat roda. Demikianlah Mak dan Die sejak balik dari Teluk Anson, makin tidak    jelas gaya kehidupan kami. Beberapa kali makanan kami hanya bubur nasi dengan lauk ikan asin. Beberapa kali juga Ayah Die meminjam wang biasiswaku untuk sekadar membeli gula dan kopi. Mak masih menjahit untuk menutupi wang belanja dapur. Wang sulaman Mak dapat menutup ongkos kehidupan kami. Ayah Die meneruskan hasil penulisan siri Nabi dan menerbitkan buku-buku itu, walaupun pasarannya amat lemah sekali. Tapi Ayah Die tidak peduli, sesekali datang Uncle Raju sebagai pengedar, menghantar wang jualan buku. Sesekali tiba wang dari Pustaka Aman, aku tidak tahu buku apa yang telah dihasil dan terbit di Kota Bharu. Barangkali inilah pengalaman penulisan telah bermula di rumah kami. Cuma terang Mak, selama di  Teluk Anson, Die sibuk menulis, menterjemahkan Al-Quran dari bahasa Inggeris. Aku sedikit bingung, kerana Die tidak terdidik di bidang  agama dan tentunya Die juga tidak fasih bahasa Arab. Tetapi diam-diam aku mula mengkagumi kerja Die, membaca dan menulis. Selepas ini memang Die lebih serius, kerana bila kami pindah ke rumah sewa lebih kecil di Batu 4 1/4 Jalan Gombak, Die sudah pun mempunyai syarikat penerbitan Sinaran Obor. Tidak lama kemudian membuka kedai buku di Batu Road = Medan Tuanku Abdul Rahman di depan panggung wayang Odean (sekarang Pertama Kompleks). Kedai buku, bungkusan buku itulah kemudiannnya menjadi sahabatku. Manakala rumah di Sentul Dalam, adalah, rumah pertama didatangi  wartawan sehingga wajahku buat pertama kali juga muncul di Berita Harian, Utusan Malasyasia dan Utusan Melayu, ” Siti zainon ingin jadi pensyarah seni” bertarikh        Februari 1969.   Ya aku memang akan jadi pelukis, kerana sepanjang tahun 1968 setelah selesai ujian  STP, aku terus melukis dan melukis. Lukisan gaya batik dan sketsa hitam putih menjadi pilihan sehingga guruku Nas Achnaz memanggil wartawan untuk membuat promosi. MasyaAllah, semoga guruku ini terus diberkati Ilahi!

 Bangi, 26 September 2005, 15:00       

Posted by Siti Zainon Ismail at 07:59:17 | Permalink | No Comments »

RUMAH TEKSTIL MELAYU

RUMAH TEKSTIL MELAYU. Apakah ini impianku, kalau benar universiti kami sudi menyediakan ruang apalagi rumah yang diberi nama ‘ Rumah Tekstil Melayu”. Demikianlah pada tahun 1996 Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan telah bersetuju memilih UKM  sebagai tapak untuk membina Muzium Entografi Melayu. Maka dipilihlah kawasan ‘Taman Pantun’ yang pernah diusahakan oleh Prof.Dr Muhammad Haji Salleh untuk dijadikan ruang muzium itu.  Datanglah Menteri Kebudayaan diringi  Ketua Setiausahnya Dato’ Tengku Awaludinin maka beraraklah juga wakit-wakil    sahabat dari Muzium Negara, wartawan dan selebihnya ialah kerabat UKM, termasuk Naib Canselornya iaitu Prof. Sham Sani. Gongpun dipalu tanda termetrinya MoU penyerahan tapak universiti. Penuhlah impian ini, membayangkan kerja-kerja pembangunan kebudayaan. Selebihnya tentulah memikirkan  kerja yang paling kuminati…Tekstil Melayu. Apalagi pada  tahun 1991 dn 1993 Bendahari telah memuluskan pembelian tekstil Melayu lama sejumlah  41 helai. Tidak berapa lama kemudian, muncullah sebuah rumah bumbung pemelih dari  Terengganu, kononnya boleh dijadikan ruang  untuk himpunan tekstil. Tahun berlalu, MoU pun berlalu juga. Entah di mana silapnya, tiba-tiba projek Muzium Etnografi sudah dipindahkan ke Putrajaya. Begitu juga rumah pemelih Trengganu yang tidak terjaga itupun lenyap kononnya juga sudah dipindahkan ke tempat yang sama.  Sesekali apabila melintas kawasan pinggiran kampus untuk menuju Bangi Lama, kesayuan terasa menatap keteduhan kebun yang masih berdiri dengan rimbunnya pokok rambutan, durian dan  mangga. Tanah beralun bukit, ditanami rumput hijau, dua buah pondok wakaf, masih tegak di situ, tapi aku merasa semakin kehilangan. Taman Pantun idea  Prof Muhammad juga tidak lagi diperikan pantun di pohonan di situ. Impian untuk mempunyai rumah tekstilpun semakin sepi. Walhal kain-kain itu yang kujaga simpan di peti besi di Pusat Kebudayaan kadang dipamerkan kadang dipakai , apakah masih utuh penjagaannya di Pusat  Kebudayaan. Aku masih memikirkan juga kain-kain itu pernah menjadi isu kemarahan Bendahari, kerana tidak dijaga dengan baik. Pernah aku disergah di kantin kerana tidak membuat laporan  tahunan, padahal aku sendiri sudah menyediakan manuskrip katelog, tapi pencetaknnya tersadai di meja.  Wahai kain limar, songket lama, kau masih sabar di sana bukan?    

Bangi, 26 September 2005, 12:10 

Posted by Siti Zainon Ismail at 05:06:47 | Permalink | No Comments »

KOLAM KECIL DI HALAMAN

KOLAM KECIL DI HALAMAN. Akhirnya beberapa biji pasu lama sudah muncul di halaman rumah. Sungguh dia sudah memindahkannya beberapa pasu besar yang tersadai, telungkup tidak dipakai di rumah Mak. Pasu berhias lingkaran sayap naga sudah pecah, tapi dengan kerja Ruminah , pembantu lama kami, pasu itu sudah diikat dengan dawai, setelah disimen di bahagian retaknya. Inilah  satu-satu tinggalan dari rumah lama Nenek. Ini ditambah lagi pasu taucu  lebih kecil tapi mulutnya terbuka lebar. Dengan warna coklat madu berkilauan. Juga milik Nenek yang kukutip di halaman rumah Busu.Satu pasu tinggi bermulut kecil kepunyaan Jidin, yang menyewa rumah kecil kami. Kini dua buah pasu  lama, ditambah satu pasu rendah, lebih lebar sesuai untuk kujadikan kolam kecil di halaman. Pagi ini diapun menambah cerita, ” Nanti pasu-pasu ini akan diletakkan di tempat yang sesuai, sayang hanya menambah isinya, ikut  seleramu. Pasu lebar yuang terbuka itu bagus  diisi dengan anak-anak ikan, nanti kita cari benih teratai, atau  keladi di kebun belakang kita pindahkan ke dalamnya. Sampai jumpa siang nanti! “

Kutinggalkan rumah menuju kampus. Tetapi pemandangan kolam  yang kunanti sekian lama, sebentar lagi akan muncul juga di halaman. Sebelum ini sudah sedia kolam kecil  yang kuisi dengan teratai, dan kiambang sudah penuh di dalamnya. Tiga ekor ikan yang kusimpan di situ, hilang entah kemana. Mungkin sudah melompat keluar ketika hujan memenuhi air pasu  atau mungkin mati  kekeringan bila aku tidak pulang  ke rumah lebih seminggu.  Mujur dahan  exora dan kemboja tetap utuh dan merimbun. Pagola dari kayu meranti tetap setia menunggu kepulanganku. Sulur sirih sudah bercambah. Beberapa pasu berkiambang makin sarat kelopaknya. Dan kini mereka sudah menatap, tuannya tidak keseorangan di rumah . Kupasti beberapa minggu mendatang, akan muncul kelopak teratai atau telipuk dengan bunga impian, biru-merah-ungu!    

Bangi, 26 September 2005, 09:39

Posted by Siti Zainon Ismail at 02:45:01 | Permalink | No Comments »

Friday, September 23, 2005

DINDING BIRU RUANG TAMU

DINDING BIRU RUANG TAMU. Bayangkan, setelah  22 tahun kumiliki rumah itu, barulah kali ini warna dindingnya ditata dengan cat baru. Separuh kaget selebihnya takjub dan bahagia, inilah kali pertamanya, seseorang dengan penuh kasih dan cintanya, sudi dan berani memberi warna baru ke rumahku yang telah lusuh sekian lama. Di ruang luar rumah sudah diberi warna merah jambu. Feminis sekali memeriahkan rasa kami berdua. ” Ini warna kegemaranku, maaf ya ini bukan warna lelakikan? “  Aku tidak mahu menjawab soalan itu  dan tidak mahu juga membuat komentar. ” Beri komenlah, apa kau senang warna itu, ayuh lihat ke dalam…” Memang , aku kaget, dan sedikitpun tidak terfikir untuk memberi warna biru tua di atas kadbod berlubang di bahagian kanan dinding yang penuh lukisan. Setengah akur dan selebihnya mengkagumi warna pilihannya yang tepat, sebelah malamnya, kamipun bersama mengatur letak lukisan.  Hasilnya, bidang dinding yang luas meninggi sudah tersusun  4 lukisan cat akralik  (dua siri limar karya tahun 1980han, dan dua siri ‘Kaligrafi Hayat’, karya 1990an), dan 8 lukisan kecil dengan bahan pastel dan campuran. Naz begitu berhati-hati meletak lukisanku. Jangan satupun tertinggal di lantai atau di ruang lain. Padahal, beberapa buah lukisan itu memang sudah kulupakan sejarah pembuatannya. Bilalah karya itu dihasilkan. Tiba-tiba dengan dinding yang diberi warna baru,  sekali lagi aku merasa dihidupkan semula….tepat  Naz menjelaskan, ” Rumah harus cantik seperti penampilanmu juga sayang. Rumah adalah tempat tidur, tempat kita melepaskan lelah seharian di luar… rumah adalah ruang semangat yang menghidupkan kasih sayang, jadi rumah kita harus cantik bukan? “  

Di manakah aku pernah mengutip kata-kata sedemikian? Ya di Yogya, bukankah Kartika juga bersuara, ” Rumah itu adalah tempat kita menghidupkan rasa. Bawalah  rumah hatimu selalu”. Aku ingin mendakap Naz petang itu, tapi masih merasa malu, kerana semalaman aku di rumah Gombak . Dan tiap kali bertemu selalu merasa hari baru, sehingga merasa seperti baru kenal.  Dia adalah lelaki suami yang tiba di rumah baru kami dia yang tabah selepas derita oleh tsunami yang berani mengetuk pintu kasihku.   

Bangi, 22 September 20005, 16:15 

Posted by Siti Zainon Ismail at 09:12:57 | Permalink | No Comments »

RUMAH AJAIB DI LUNDANG

1959

RUMAH AJAIB DI LUNDANG. Kukatakan inilah rumah ajaib atau rumah aneh yang pernah kami tempati. Musim cuti sekolah bulan Disember, Nenek benarkan aku mengunjungi Mak di Kota Bharu. Sekali lagi cuti itu aku bersendirian naik kereta api. Dengan tiket percuma dari Abah yang bekerja sebagai buruh keretapi Sentul, akupun dengan bangga  menduduki gerabak kelas tiga, kerusi berkusyen hijau tipis, tidak ada tempat tidur. Kereta api berjalan mendesah dan terhuyung hayang. Akupun menikmati irama kereta api Mel. Sesekali mataku tidak lepas dengan dua bungkusan buntil penuh buah sukun, durian dan manggis. Nah , boleh bayangkan gadis kecil berusia 8 tahun, sendirian naik kereta api Mel malam, dengan dua bungkusan buntil  ? Ya itulah gaya hidupku, ‘ harus berani ‘ kerana Mak harus kukunjungi. Di stesyen K.Lumpur Pak Tua Suar berbisik  dengan stesyen Master, mengenalkan ku,   kudengar suaranya kepada salah seorang kondukter keretapi,  ” Nanti tolong anak ini, turunkan dua buntil buah-buah itu, di Gemas, dan naikkan ke kereta api ke Kota Bharu.” Dalam diam-diam , aku  ingatkan nama stesyen G E M  A S. ” Izan  turun di Gemas, ganti kereta api, Pakcik ni akan tolong angkat barang-barang”.      

Benar, di Palekbang sudah menanti ayah Die. Kuharap Mak ada, tapi kata ayah Die, ” Mak tak sihat, Adik Wati mula meragam, nanti Izan   peluk Mak di rumah Lundang ya! ” Rumah Lundang? 

” Ya, rumah kita yang baru  di Lundang, tak jauh dari kedai air batu. lebih ke atas dari rumah Jalan Telipot. Lundang oh Lundang, eh ku dengar seperti kundang oh kundang. Rasanya tidak sabar hendak melihat rumah kami di Lundang. Mak menyambutku dengan senyum gembira. Tetapi kenapa mata Mak  layu dan bibir Mak kelihatan pucat, badan Mak kurus sekali ? Aku ingin bertanya tetapi kenapa bibir kukelu. Aku ingin memeluk Mak, tapi aku malu. Mak pun memelukku, mencium kepalaku. Mak seperti mahu mencium pipiku. Tetapi kenapa aku mengelak dari ciuman Mak. Merenggangkan  pautan Mak dan berdiri kaku, menyorot ke sekeliling ruang rumah yang kosong tanpa kerusi meja, tingkap tidak berkain langsir, almari dan dapur hanya dengan dapur minyak, beberapa periuk…lalin-lain kosong, di mana meja makan, di mana katil?

Ya rumah itu kosong. Mak menunjuk bilik tidur, terbentang tilam besar, sebuah bantal. Di situlah bilikku. Aku diasingkan tidur sendirian, sedang enam orang anak ayah Die di bilik sebelah dan Mak, ayah Die dan Wati di bilik depan.  Ya malam pertama di rumah Lundang itulah aku merasa seperti berada di ruang aneh, sunyi sepi. Lampu dimatikan tepat pukul sembilan setelah selesai makan malam pada pukul lapan malam. Tiba-tiba saja, siang yang penuh hiruk pikuk dengan enam orang anak ayah Dei, dengan tingkah Nuar, Yati dan Tiara yang bising mengangguku, tiba-tiba berganti sunyi senyap  yang sayu dan mula mengerunkan.Aku tidak dapat tidur. Mula mendengar bisik-bisik yang aneh, detak detik di bilik sebelah seperti ada bentuk yang ingin masuk tembus ke tembok dinding. Cepat-cepat kukunci pintu.  Rasanya ada langkah yang  makin mendekat. Ada tangan yang menjulur tembus dari tembok luar, cuba mencapai kepalaku. Kututup kepala dengan bantal. Tangan itu masih mendekati dan akhirnya berjaya  mencapai bantal dan membenam  kepalaku dengan bantal. Aku lemas, tangan dan kakiku meronta dan ketika itulah aku mendengar cakaran kuku terus mencakar dinding dan lantai, aku juga mmendengar suara harimau  mengaum dan seperti menyonyak kulit amat dasyatnya. Aku  makin lemas dan merasai kulitku dicakar dengan kuku yang tajam dan sungguh memedihkan.Bau kemenyan memenuhi ruang bilik Aku menjerit, tapi tak seorangpun datang mengetuk atau menendang   pintu. Kenapa Mak dan ayah Die membiarkan aku sendirian di bilik A J A I B itu ? Aku meminta tolong tapi tak  ada yang datang. Sehingga aku menjerit memanggil Nenek …tepat ketika telingaku mendengar suara azan…tiba-tiba semua suara yang menakutkan itu bertebaran,  hilang sayup dan kembali  menjadi sepi. Aku terduduk, berkeringat, mengucap dan memanggil Tuhanku…Allahhuakbar! 

Rumah pagi   tidak kutermui apa-apapun di sekelilingku. Hanya bantal dan selemut bertebaran. Tiba di luar kulihat Mak begitu sedih dan bingung, sedang membungkar bantal dan kekabu bertaburan….dan aneka barang ajaib ditemui dari bantal yang sudah terburai kekabunya…ditemui jarum , benang hitam,  putih, kuning dan merah,  serpihan kaca dan hujung tanduk…..di sana sini masih tersisa bau kemenyan yang menusup hidungku malam tadi…MasyaAllah!  

Kudenganr suara seorang perempuan tua, ” Mujurlah budak  ini datang, dia bawa tuah, sehingga bantal yang penuh barang-barang tajam ini terbungkar , ada yang tanam , benci pada awak…’ jaga budak ini dengan baik! “  Mak menangis tersedu mendakapku,

” Jangan beri tahu perkara ini pada Nenek, ya sayang! “

Tuah! Rumah A J A I B ! Mak juga berpesan, ” Izan jangan ke rumah hujung depan, perempuan tu bomoh Siam “. Bomoh Siam? Aku pun mnelihat dari jauh bayang seorang perempuan, berambut keriting, berbaju kasa pendek, berkain sarung batik, menatapku dengan pandangan yang aneh. Cepat-cepatku ingat pesan Mak, dan masuk ke dalam rumah. Cuba melupakan, aum harimau, dan cakarannya. Dan aneka bahan-bahan aneh yang disumbat dalam bantal Mak itu, Kenapa?    

Ya, hingga pulang ke Gombak, kampung asal kami, kadang-kadang aku  masih mendengar cakaran sang harimau di malam rumah Ajaib di Lundang! 

Bangi, 22 September 2005, 13:55        

Posted by Siti Zainon Ismail at 06:52:02 | Permalink | No Comments »

Wednesday, September 21, 2005

WELLMAN STREET NO. 40

WELLMAN STREET No. 40.  Di kota Pulau Selatan ini, kalau kita tiba sepanjang bulan April-Mei, sebenarnya kita sudah hampir ke musim dingin.  Bayangkan kalau di benua Eropah sana, sudah meninggalkan musim bunga, tapi di Melbourne kita malah harus bersedia dengan baju panjang  tebal. Mula- mula memang mengasyikkan melihat daunan maple warna merah bertaburan ditiup angin. Pohon maple yang rendang teduh di halaman rumah, di Wellman Street, no. 40 itupun seperti hamparan permaidani, merah jinga berlapisan bertaburan di tiup angin petang. Akupun asyik mengutip helaian daunan maple, cepat-cepat masuk ke rumah, setelah memasukkan kunci di lubang pintu, tergesa  menutupnya, dan menolak pintu kedua menuju ruang tamu. Cepat-cepat juga menyalakan heater, membuka baju tebal, dan menggantikan sepatu dan memasang selipar bulu juga bagi  mengelakkan kedinginan senja. Langit petang emmang cepat menjadi kelabu. Kutolak tabir jendela tebal di  bahagian luar, membiarkan langsir lace tipis   untuk memastikan penglihatanku, siapakah yang datang mengetuk pintu. mana tahu kalau ada tamu tak diundang ?   

Bungkusan tanah liat yang sudah kucanai di studio seramik di Boxhill ku buka. Beberapa bentuk mangkuk dengan lingkuk  daun maple, leper dan cengkung sudah tersusun di atas meja dapur. Kukeluarkan lagi bentuk anak beruang yang belum selesai kuhalusi selama dua jam kelas.   Minggu menjelang musim dingin, aku berpeluang datang ke rumah Wellman Street itu hanya untuk tempoh dua minggu . Bayangkan dengan harga tiket lebih RM 1500. 00  itulah harus yang diperuntukan untuk sepasang suami isteri yang dipisahkan jarak lautan dengan penerbangan hampir enam jam ke Pulau Selatan.  Tidak ada kekesalan dengan takdir dan jodoh pertemuan. Aku berani menerima takdir ini, walau ujian hidup masih bertebaran di sana sini.  Mak semakin uzur, dan mula melihat kesakitan, ‘takut ditinggalkan’. Kutinggalkan Melor dan Wira dengan rasa sedih yang terpendam. Membiarkan mereka tumbuh dengan olah kekuatan  mereka sendiri, adalah detik yang memilukan naluri keibuanku.  Kalau aku berangkat sekitar bulan September, haruslah kami atur makan bersama. Kerana ulang tahun Melor tepat tanggal 12 manakala ulang tahun pernikahanku jatuh dua hari kemudian. Bagaimanakah perasaan anak yang ditinggalkan? Memang susah ditebak, kerana puteri sulungku kerap saja berwajah jenaka. Dan merekalah yang selalu mengaturkan, mahu makan di mana, pilihan menu memang datang dari mereka. Begitu juga, mereka sendiri akan menelifon Maisara atau Zaiton Ajamain untuk meramaikan meja makan. Di otakku juga, harus menyesuaikan jadual kuliah, ujian dan pepereksaan. Kalau berangkat bulan September terpaksa ambil cuti. Kalau bulan Oktober, disesuaikan dengan cuti semesta. Sedang pertemuan di Pulau Selatan belum tahu bagaimana. Kadang harus terbang langsung ke Sydney, untuk mengunjungi  rumah mertua di Searle Street. ” Demi mengambil hati orang tua”. Itu ucap suami. Atau aku sendiri memang senang ke rumah yang lebih hangat dengan senyuman dan ramah perempuan  yang mengingatkanku dengan wajah dan gaya nenekku sendiri. Kerana di rumah itu juga aku menemukan kesamaan barang milik keluarga kami, alas meja benang renda, gelas dan vas bunga kritstal. Tapi di rumah kami di Wallman Street, memang amat sederhana sekali. Sofa di ruang tamu, dapur masak, dan peti ais semua milik tuan rumah. Pinggan mangkuk mula banya di bawa langsung oleh mertua dari Searle Street.  ” Orang lelaki mana peduli dengan barang dapur, itu kerja wanita, anakku”. Itulah bisik Marry Dorethe Aveling. Marry juga mengajarku kembali mengait benangan bulu. Sehingga dalam tempoh dua minggu aku dapat menyiapkan shawl. Selebihnya sesekali aku ke kedai milik kelab orang tua . Di situ kudapatkan barang dan perkakas dapur yang masih cantik. Beberapa gelas     buatan tahun 1950an masih dijual cantik dan  utuh. Kudapatkan juga mangkok aiskrim atau pudding yang bertelinga di hujungnya. Bekas pudding ini seperti milik nenekku juga, dijual di kedai barang lama. Di hari lain kudapatkan album lama berisi setem. Terkejut juga terselit setem ‘Malaya’ tercetak tahun 1950. Itulah himpunan kecil yang kutemui dalam langkah harianku kala pulang ke rumah di Wellman Street. Memang kerap aku bersendirian turun naik tram,  berjalan kaki dari rumah ke stesyen menuju pusat kota Melbourne, mengalir ke Victoria Market, ke kedai buku atau meredah Botanical  Garden. Ini hidup hilir mudik ke rumah aneh kami,  kerana suami masih berstatus guru yang amat setia dengan tugasnya. Yang harus melayani mahasiswa, menyiapkan kertas kerja seminar. Malah lebih senang ke seminar bersendirian kalau aku tidak protes untuk ikut serta terutama  kalau  seminar di luar kota. Musim gugur tiba, musim dinginpun menjelma. Ada gegaran kecil mula berdenyut di sukma. Mak mula sakit di tanah air. Esok lusa aku harus pulang mengejut, tiba-tiba…itupun sudah biasa. Demi rumahku yang tertebar di mana-mana.   

Posted by Siti Zainon Ismail at 09:10:01 | Permalink | No Comments »

RUMAH JALAN KUNCEN

1970

RUMAH JALAN KUNCEN. Setelah meninggalkan rumah di Jalan Kalirurang, tahulah aku hidup harus mandiri dan sudah tiba masanya aku berdikari. Dengan sisa  wang bawaan sebanyak RM 1000.00 itu kubuka ekaun di BNI depan Alun-alun. Wang bunganya sebanyak 5,000 Rupiah dapat kugunakan untuk sewa kamar  berkongsi dengan Yovita. Wang jajan ku sisihkan untuk seminggu. Sedikit belanja cat dan kertas lukisan. Wang makan bulanan tidak pernah cukup. Beberapa kali aku menumpang makan di warung Bu Brojo (selalu kubisikkan: “kalau ada yang beli sketsa, kubayar ya bu!”). Bu Brojo selalu mengangguk lembut walau dia tahu, sketsaku belum pernah terjual. Di warung hanya kupilih sekeping tempe atau tahu. Sedikit kuah kutabur menutupi sesenduk nasi dan berulamkan cabai rawet. Makan di rumah hanya untuk sarapan dan malam. Juga dengan lauk sederhana, sepotong daging tipis dengan timun cuka. Kadang ditambah dengan telur asin. Dengan sewa kamar 2,500 Rupiah, rasanya lauk begitu sudah cukupan. Tentunya tidak sama dengan makanan percuma yang kudapatkan terhidang di rumah Karangwuni, milik keluarga ibu angkatku Kartika Affandi.

” Hidup mahasiswa harus berani “. Itu juga omel Affandi ketika kuberi tahu, akan pindah rumah ke Kuncen. ” Ya, kalau makannya tidak enak, pulang saja ke Karangwuni atau di rumah Akik ini “. Tambahn nenek Maryati, isteri Affandi. Ya aku harus mulakan langkah. Tidak mungkin sesuai dengan hidup mewah di galeri pelukis tenar itu. Affandi juga dulu hidupnya melarat…aku ingin melalui pancaroba kehidupan. Rumah Kuncen, gaya potongan rumah zaman Belanda, tembok batu , beratap limas, berkamar besar di depan. Ibu rumah sengaja memilih kamar belakang. Beberapa kamar lain dibuat di samping berjejer lima bilik lagi . Di situ disewa oleh Norma Taringan dari Berastagi, Retno dari Malang Yuli, Indrawati dan Wiwiek dari Solo. Riuhlah rumah itu setiap pagi , petang. Selepas senja makin meriah kerana di datangi  Yan pemuda kurus asal Menado yang berkencan dengan Yuli. Atau datang pula Wardoyo dengan rambut keriting kembang hingga ke parar bahu, mencari Indrawati.  Itulah pandangan di ruang  rumah samping. Aku  sendiri berkongsi dengan gadis Palembang, begitu manja dan ‘ penakut’ sekali berjalan sendiri. Dia juga teman baikku setiap kali melakukan kerja amali sketsa pagi. Kami memilih Pasar Sapi di setiap hari Rabu. Atau berpindah ke pasar bersebelahan halaman ASRI. Di hari lain, kami sudah sampai ke pasar  Wirobrajan dan duduk santai di stesyen keretapi. Tapi kerap juga aku meninggalkan Yovita, sendirian kerana aku berjalan kaki  hingga ke Alun-alun yang jaraknya lebih 5 KM dari Kuncen. Dengan Yovita tidak mungkin sanggup dia berjalan kaki. Norma Tarigan juga pelajar jurusan Seni Lukis. Tetapi nampaknya tidak berminat  untuk membuat kerja melakar dan sketsa di  jalan. ” Aku malas berpanas begitu, atau kalian bangun pagi-pagi, ogah aku “. Jerit Norma di depan ruang biliknya. Aku diam-diam saja melenggang membawa drawing blok, botol tinta dan berus sudah sedia di saku jaket. Beberapa kali terserempak dengan pelajar Malaysia yang kuliah di Universitas Gajah Mada, menatapku  dengan wajah ‘kesian’ menemukanku  berpanas di pasar Bringhargjo.  

Di depan rumah Kuncen itulah aku sering juga menerobos ke warung kecil itu.Beberapa orang pelajar Bali, Made Wianta, Wayan Sika termasuk asisten dosen kami berlanggan makan. Kadang muncul juga Pak Fajar Sidik dan Nyoman Gunarsa makan di situ dan datang singgah menghulur  bungkusan tahu atau tempe. Akulah yang cepat menyambutnya, untuk kusimpan buat makan siang esoknya kalau kelas sampai pentang. Yovita tidak mungkin menerima makanan kecil begitu, kerana dia sudah cukup manja dengan kiriman wang dari Palembang. Malah beberapa kali pula kakaknya datang membawa daging kering dan serunding abon. Tapi kali ini aku pula yang menolaknya, tidak mungkin menerima masakan dari keluarga Tiongha itu. Memang kadang Yovita berkecil hati aku menolak makanan kiriman kakak atau ibunya, sehinggalah ku jelaskan kepadanya, ” Aku harus makan daging yang disembilah orang Islam Vit!”.  Yovita tersentak dan mula menyedari kenapa beberapa kali patung Bunda Marianya, kerap berubah di  kepala katil kami. Yovita juga beberapa kali memindahkan Al-Quran kecil di kepala katil yang sama. Ibu rumah juga kadang menawarku  ‘ darah ayam beku ‘ , digoreng lembut seperti tahu.  MasyaAllah, akupun pernah tersentak, dengan juadah makanan itu atau patung salip di pintu masuk ke kamar tidur kami. Itulah budaya Jawa dengan agama berbagai dan  falsafah Pancasila yang harus kepelajari. Selepas semesta satu, aku harus memikirkan untuk mencari rumah baru kepunyaan keluarga Islam. Insya Allah, mungkin di halaman Muhamadiah atau ke Ketemanggungan dekat rumah W.S Rendra.

Bangi, 21 September 2005, 12:30. 

  

Posted by Siti Zainon Ismail at 07:35:01 | Permalink | Comments (2)