Wednesday, September 21, 2005

WELLMAN STREET NO. 40

WELLMAN STREET No. 40.  Di kota Pulau Selatan ini, kalau kita tiba sepanjang bulan April-Mei, sebenarnya kita sudah hampir ke musim dingin.  Bayangkan kalau di benua Eropah sana, sudah meninggalkan musim bunga, tapi di Melbourne kita malah harus bersedia dengan baju panjang  tebal. Mula- mula memang mengasyikkan melihat daunan maple warna merah bertaburan ditiup angin. Pohon maple yang rendang teduh di halaman rumah, di Wellman Street, no. 40 itupun seperti hamparan permaidani, merah jinga berlapisan bertaburan di tiup angin petang. Akupun asyik mengutip helaian daunan maple, cepat-cepat masuk ke rumah, setelah memasukkan kunci di lubang pintu, tergesa  menutupnya, dan menolak pintu kedua menuju ruang tamu. Cepat-cepat juga menyalakan heater, membuka baju tebal, dan menggantikan sepatu dan memasang selipar bulu juga bagi  mengelakkan kedinginan senja. Langit petang emmang cepat menjadi kelabu. Kutolak tabir jendela tebal di  bahagian luar, membiarkan langsir lace tipis   untuk memastikan penglihatanku, siapakah yang datang mengetuk pintu. mana tahu kalau ada tamu tak diundang ?   

Bungkusan tanah liat yang sudah kucanai di studio seramik di Boxhill ku buka. Beberapa bentuk mangkuk dengan lingkuk  daun maple, leper dan cengkung sudah tersusun di atas meja dapur. Kukeluarkan lagi bentuk anak beruang yang belum selesai kuhalusi selama dua jam kelas.   Minggu menjelang musim dingin, aku berpeluang datang ke rumah Wellman Street itu hanya untuk tempoh dua minggu . Bayangkan dengan harga tiket lebih RM 1500. 00  itulah harus yang diperuntukan untuk sepasang suami isteri yang dipisahkan jarak lautan dengan penerbangan hampir enam jam ke Pulau Selatan.  Tidak ada kekesalan dengan takdir dan jodoh pertemuan. Aku berani menerima takdir ini, walau ujian hidup masih bertebaran di sana sini.  Mak semakin uzur, dan mula melihat kesakitan, ‘takut ditinggalkan’. Kutinggalkan Melor dan Wira dengan rasa sedih yang terpendam. Membiarkan mereka tumbuh dengan olah kekuatan  mereka sendiri, adalah detik yang memilukan naluri keibuanku.  Kalau aku berangkat sekitar bulan September, haruslah kami atur makan bersama. Kerana ulang tahun Melor tepat tanggal 12 manakala ulang tahun pernikahanku jatuh dua hari kemudian. Bagaimanakah perasaan anak yang ditinggalkan? Memang susah ditebak, kerana puteri sulungku kerap saja berwajah jenaka. Dan merekalah yang selalu mengaturkan, mahu makan di mana, pilihan menu memang datang dari mereka. Begitu juga, mereka sendiri akan menelifon Maisara atau Zaiton Ajamain untuk meramaikan meja makan. Di otakku juga, harus menyesuaikan jadual kuliah, ujian dan pepereksaan. Kalau berangkat bulan September terpaksa ambil cuti. Kalau bulan Oktober, disesuaikan dengan cuti semesta. Sedang pertemuan di Pulau Selatan belum tahu bagaimana. Kadang harus terbang langsung ke Sydney, untuk mengunjungi  rumah mertua di Searle Street. ” Demi mengambil hati orang tua”. Itu ucap suami. Atau aku sendiri memang senang ke rumah yang lebih hangat dengan senyuman dan ramah perempuan  yang mengingatkanku dengan wajah dan gaya nenekku sendiri. Kerana di rumah itu juga aku menemukan kesamaan barang milik keluarga kami, alas meja benang renda, gelas dan vas bunga kritstal. Tapi di rumah kami di Wallman Street, memang amat sederhana sekali. Sofa di ruang tamu, dapur masak, dan peti ais semua milik tuan rumah. Pinggan mangkuk mula banya di bawa langsung oleh mertua dari Searle Street.  ” Orang lelaki mana peduli dengan barang dapur, itu kerja wanita, anakku”. Itulah bisik Marry Dorethe Aveling. Marry juga mengajarku kembali mengait benangan bulu. Sehingga dalam tempoh dua minggu aku dapat menyiapkan shawl. Selebihnya sesekali aku ke kedai milik kelab orang tua . Di situ kudapatkan barang dan perkakas dapur yang masih cantik. Beberapa gelas     buatan tahun 1950an masih dijual cantik dan  utuh. Kudapatkan juga mangkok aiskrim atau pudding yang bertelinga di hujungnya. Bekas pudding ini seperti milik nenekku juga, dijual di kedai barang lama. Di hari lain kudapatkan album lama berisi setem. Terkejut juga terselit setem ‘Malaya’ tercetak tahun 1950. Itulah himpunan kecil yang kutemui dalam langkah harianku kala pulang ke rumah di Wellman Street. Memang kerap aku bersendirian turun naik tram,  berjalan kaki dari rumah ke stesyen menuju pusat kota Melbourne, mengalir ke Victoria Market, ke kedai buku atau meredah Botanical  Garden. Ini hidup hilir mudik ke rumah aneh kami,  kerana suami masih berstatus guru yang amat setia dengan tugasnya. Yang harus melayani mahasiswa, menyiapkan kertas kerja seminar. Malah lebih senang ke seminar bersendirian kalau aku tidak protes untuk ikut serta terutama  kalau  seminar di luar kota. Musim gugur tiba, musim dinginpun menjelma. Ada gegaran kecil mula berdenyut di sukma. Mak mula sakit di tanah air. Esok lusa aku harus pulang mengejut, tiba-tiba…itupun sudah biasa. Demi rumahku yang tertebar di mana-mana.   

Posted by Siti Zainon Ismail in 09:10:01
Comments

Leave a Reply