Tuesday, October 11, 2005
Wednesday, October 5, 2005
SEKOLAH RENDAH LANGGAR
1957
SEKOLAH RENDAH LANGGAR. Hujan gerimis berderaian hari itu. Seperti biasa kelas bermula dengan kedatangan guru, kami sambut beramai, ” Selamat pagi cikgu”. Dengan gembira kukeluarkan buku untuk untuk menyalin dan meniru apa yang guru tulis di papan hitam. Cikgu Zainab menulis beberapa angka dengan kapur, angkanya besar dan dapat dilihat dari jauh. Di situlah tempat meja dan kerusiku, di baris ke tiga dari belakang. Memang sejak masuk ke dalam kelas di Sekolah Langgar, aku begitu rasa terasing. Atau mungkin di asingkan, kerana ” mu anak luar Kota Bharu, ghoyak tok samo !” Kudengar hati-hati dialek Kelantan. Minggu pertama belajar di sekolah itu aku masih sendirian. Belum bersahabat. Sehinggalah muncul Zaleha berasal dari Pulau Pinang dan Faridah asal Perak. Kedua-dua mereka ini memakai baju kurung labuh, bersih . Kami dianggap orang asing, kerana datang datang dari luar negeri Kelantan. Terdengar suara lain mencelah, ” Bajumu cantik, licin, bergayo sokmo !” Memang untuk pakaian sekolah, Mak begitu berhati-hati sekali. Baju kurung pendekku dikanji, diseterika lincin. Kasut juga putih berkapur. Aku sendiri hampir tidak percaya, ada murid datang ke sekolah berkaki ayam, baju lusuh tidak bergosok.
Waktu yang kutunggu ialah, kelas petang yang diadakan di luar bangunan. Kelas kami, berdinding papan, dinding separuh menutupi ruang dari lantai. Beratap daun rumbia. Kalau guru yang berdiri, pasti terlihat kepalanya dari luar. Waktu yang kusenangi ialah kelas akhir kerana kami sering dibawa keluar kelas. Duduk di bawah pokok untuk mendengar sesi bercerita sambil bernyanyi. Beberapa nyanyian mula kuikuti larik-larik yang janggal bunyinya, antara larik yang kuigati ialah lagu ” Buah Jambu masak” yang berbeza bunyi daripada ejeaan sebenarnya, …buah jambu masok/ masok (h)ujung jula (julai)/ apo (apa) jamu kakok (kakak)/ nasi dengan gula (gulai).
Minggu pertama hingga ke tiga, memang Mak menghantarku ke sekolah. Tetapi selepas hampir sebulan, aku sudah dibenarkan berjalan sendirian ke sekolah. Di jalan muncul beberapa teman lain, yang kadang-kadang memang sudah berdiri di depan rumah, sehingga kami berganding jalan, walaupun masing-masing berdiam diri, tanpa suara. Biasanya sebelum ke Sekolah Langgar, aku lebih dulu ke Wakaf Siku, mengaji dengan Ayah Mat, di langgar dalam permakaman diraja Kelantan. Selesai saja azan subuh aku sudah berlarian ke arah makam. Cahaya subuh masih remang sejuk tatkala aku sudah naik ke langgar, yang masih sunyi senyap. Belum ada yang datang mengaji. Tidak sedikipun aku pedulikan bayang-bayang makam yang selalu digeruni kawan-kawanku yang lain. Satu pagi Ayah Mat sendiri, ” Mek awal sangat mari ngaji, berani sunggu la cik molek ni”. Walau sekekali aku terbayang anggota yang mengiringi langkahku di belakang, atau terkadang, terlanggar batu nisan di balik makam dengan nisan yang tinggi berukira tetapi cepat-cepat aku melompat ke atas langgar, dan membuka mukaddam. Tidak kusedari juga guru Ayah Mat entah dari mana muncul sudah bersuara dengan ciri khas seorang guru, kadang memakai jubah panjang, kadang hanya berbaju pendek, kain sarung dan melilit kepala dengan kain panjang putih. Aku pun mengikut suaranya menyanyikan abja Arab-Jawi, tapi lidahku sudah dibauri suara kawan-kawanku anak Kelantan, sehingga Alif bertanda atas, kubunyikan ‘ Alik atah Oo’, Bo atah Boo’ .
Setelah selesai mengaji, aku buru-buru berpatah balik dan bersiap pula untuk ke sekolah. Di hari lain pula ada seseorang yang mengajakku untuk meredah rumah batik. Bererti aku tidak pulang lansung ke rumah. Sebaliknya asyik melihat orang mengecap kain, menekap lilin sebelum kain-kain-kain dicolek warna dan direndam ke air panas untuk menghapus lilinya. Ya kadang-kadang dalam sehari aku telah menembusi tiga hingga empat rumah: rumah mengaji di langgar Wakaf Siku, rumah sekolah di Langgar, rumah batik dan petang aku sudah ke rumah burung, mengintai sebuah sangkar yang dihuni oleh burung tiong tidak jauh di belakang rumah kami di Telipot. Burung tiong inilah pernah mengajakku bermain wayang kulit. Suara tiong itu tiba-tiba saja meloncat keluar ketika aku menghampiri rumah sangkarnya, ” Hei, Siti Dewi, mari lompat kijang mas”. Memang selepas beberapa bulan di Kota Bharu aku juga sudah main wayang kulit di kedai Mek Jah dengan patung-patung yang kami ukir di atas kertas kotak, dan malamnya dengan melarikan kain cadal putih di bilikku, kujadikan kelir di sisi kedai Mek Jah. Akulah yang mengukir tebuk patung Siti Dewi, meniru lagak suara si tiong di belakang rumah kami.
Bangi 05 Oktober 2005