LANGIT MENDUNG KUALA LUMPUR
RABU - 09 Mei 2007
(7 Mei 2007 - Innalillahi wa inna ila hiro ji un- ál Fatihah untuk arwah Redha Piyadasa yang kembali ke rahmatullah pada jam 6.15 petang. Semoga rohnya dicucuri rahmat Ilahi)
1.
Kuala Lumpur basah pagi ini.Gerimis dan langit mendung, selalu merubah watak manusianya. Semua tergesa, kereta berderet mengejar ruang saling berpacu, memotong tidak peduli orang di kanan di kiri. Saya keluar dari Jalan Kampong Bandar Dalam. Jalan dari rumah Mak, semakin sempit kerana disempitkan oleh lalu lalang dua hala. Ada yang masuk menuju ke Kampong Cangkat setelah melewati Kampong Padang Balang masuk ke perumahan Taman Melewar. Kampung asal kami tersepit antara lorong kecil (menjadi jalan lalu lintas) kerana mereka mengelak Jalan Gombak atau jalan ke Karak. Nama kampung kami juga tidak pernah muncul di papan tanda kecuali nama jalan Kampong Bandar Dalam, tersisih di simpang Kampong Cubadak yang juga sudah dihilangkan dari peta DBP. Dengan sabar, Naza Ria kami merangkak mencelah di sebelah lori sarat papan bertindihan, di belakang bas pula berkejaran mencelah di sisi. Keluar jam lapan sempatkah sampai ke RTM untuk acara SPM pukul 9.30. Si Melor tenang saja (ah sebab dia tidak memandu - si ibu jugalah jadi supirnya) mengarahku memilih jalan ke Taman Dato’Senu untuk sampai ke stesyen komuter Sentul Timur. Jalan semakin sesak setengah jengkel, jalan ini juga sarat kereta merangkak ke simpang empat, ke kiri langsung ke sekolah La Salle, ke kanan balik kembali ke jalan Sentul Pasar. Pesan Melor, ” Bonda lurus langsung highway tembus ke Jalan Duta “. Senang gadis ini memberi ide, si ibu pula tersangkak. Mujur juga cuaca gerimis kembali melembut darah pitamku. Deringan HP mengejutku. Intan bertanya, ” Dah sampai mana? pukul 9 harus touch-up, 9.30 lansung masuk studio “. Gila. Siapa pula mendengar seranah di hati ini. Oop.
Ya tekstil telepuk akan dibicarakan pagi ini. Kedua pengacara jelas tidak pernah mendengar jauh dari melihat kain telepuk. Pengarah Muzium Selangor Puan Maimunah mencium kedua pipiku, dia sudah duduk di kerusi mengadap kamera. Saya tahu dari Intan, ” Pengarah takut kalau Prof tak datang, beliau hanya bercakap tentang acara pameran, tapi sejarah telepuk harus Prof yang jelaskan “. Ya telepuk- telepuk…inilah antara tekstil Melayu yang telah berusia lebih 400 tahun lalu. Kain berhias air emas - disebut dalam teks sastera sebagai kain diperciki air mas, bahan seakan tepung melekat dikertas kalau disentuh mudah berterbangan maka disebut juga dalam teks sebagai perada terbang. Tengkolok Hang Tuah juga berhias bunga bertelepuk air perada. Daeng Celak ketika bersanding dengan Tengku Mandak adinda Sultan Sulaiman Riau memakai destar batik Surabaya bertelepuk. Hingga tiba di Selangor, juga menjadi kegemaran keluarga bangsawan, menghasilkan kain telepuk iaitu kain yang telah digerus ( Bugis: garassuk ) . Selehai kain telepuk telah dihadiahkan ke Residen British, oleh DYMM Sultan Alaudin Sulaiman Alam Shah pada tahun 1923 disimpan di bilik 38A - Indian Departmen Muzium Victoria dan Albert. Lebih awal Sultan Abdul Samad juga menghasilkan kain telepuk dan menjadikan pakaian adat istiadat di istana. Permaisuri kepada Sultan Hishamudin Alam Shah juga iaitu Tengku Jameáh (1940han) telah menubuhkan kelab Pertukangan Melayu Selangor, dan mengadakan bengkel latihan menyulam, menekat dan menelepuk untuk para wanita di Negeri Selangor. Malah karya maereka dipamer dan dijual di kedai Robinson (tapaknya di hujung simpang Jalan Tuangku Abd Rahman-Tun Perak sekarang). Malah isteri Gabenor Singapura pula menyediakan ruang di Hotel Raffles untuk mempamerkan karya seni Selangor. Sekarang di manakah telepuk itu?
Untuk acara pameran esokpun isteri YB tidak dapat merasmikannya. Acara tetap diteruskan - secara sederhana yang akan diakui oleh Pengerusi Muzium saja.Di harap selepas acara temuramah di RTM pagi ini akan didengar lihat oleh salah seorang puteri diraja buat menggugah mereka lebih 200 tahun telepuk pernah di hasilkan di istana .
11.
Keluar dari studio RTM, langit masih meratap. Gerimis masih berderaian. Jalan masih sarat dengan kereta tersendat di jalan mewah menuju pusat bandar. Kemana sekarang? Tiba-tiba saya terganggu untuk meneruskan acara pertemuan dengan kurator Rashidah dan Zubaidah bagi membincangkan program Muzium Tekstil. Saya ingin menikmati langit kelabu Kuala Lumpur. Terbayangkan langit Amsterdam di pagi musim luruh. Walau pun tanpa daunan mulbery berguguran dan willow bergetaran di tembok sungai Cambrige. Sebelum melewati stesyen LRT Bangsar tidak mungkin singgah ke Galeri Pelita Hati di Jalan Abdullah. Masih terlalu pagi. Saya membelok memasuki arah kiri, tiba-tiba terlintas kedai buku dan kepingin mereguk kopicina (ini ejaan saya ye). Mendapat akhbar pagi terpapar wajah bakal Raja Puan Besar Zara. Wow memang tepat pilihan YM Raja DR Nazrin memilih wanita gesit, dinamik dalam bisnes, intelektual - semaraklah hendaknya istana Iskandariah. Akan lahirkah Raja Chulan 2 kelak. Insyaallah.
Di Times Book Shop apakah yang kau temui? Woo….Crafts and The Visual Arts. Terbitan Didier Millet, 2007. Buku ini di selenggarakan oleh Syed Ahmad Jamal. Tetapi selama proses penulisan bahan teksil Melayu dengan latar sejarahnya saya hanya dihubungi oleh Martin Cross sebagai pengurus projek. Kiri Cowie pula editor berasal dari New Zealand. Bekerja dengan mereka membuatkan kita tahu betapa berharganya waktu dan temujanji untuk perbincangan teks. Walau pun sebagian data memang saya susun semula dari buku asal Tenunan Melayu, tetapi Kiri begitu cekap mengelak dengan menambah ilustrasi baru. Hanya gambar sehelai bantal bertekad dan motif telepuk dikekalkan. Pesan Kiri, jangan bimbang teks seluruh judul (2007, 48-70) memang citramu. Kiri faham kerja seorang penulis yang juga melukis dan berpuisi. Petang di rumah cepat ku hubungi Kiri untuk cepat dihantar buku yang baru dilancarkan pada minggu lalu yang sengaja saya tidak dapat hadir ke Kinrara.
Tanpa diduga di kedai buku itu saya bertemu dengan seorang wanita (kemudian dia menghulur kartu nama tercatat Datin Fatim), duduk di lantai ruang kanak-kanak, membaca majallah. Saya sendiri membelek buku-buku cerita kanak-kanak berbahasa Inggeris cuma satu lapis rak terjumpa judul Badang. Yang lain-lain adaptasi Angsa Liar, Pelayaran Gulliver. Mana buku berbahasa kebangsaan . Saya menyapa wanita itu mengenalkan diri, rupanya kami sehobi. Dia menunjukkan sehelai baju yang sedang dijahit sulam hiasan. Menghabiskan masa lapang dan tengah memikirkan kertas dan cat untuk melukis menghabis masa lapang setelah berusia 60 tahun. Setelah anak dewasa, belajar teknologi kimia tetapi akhirnya mengutip cerita masa kecil yang pernah didengarnya lalu menulis buku tentang saka dan diterbitkan oleh Alaf 21. Lucu dan menarik cerita kami di ruang kanak-kanak di kedai buku tiu. Saya tinggalkan Datin Fatim setelah memberi tahu tiga acara menarik sepanjang bulan Mei-Jun. Esok ada pameran lukisan oleh Nora Abdullah (juga seusia 60han), di Galeri Shah Alam. 5 Jun saya sendiri akan menyampaikan ucaptama tentang Telepuk di Muzium Shah Alam. Pada 12 Jun sila datang ke Galeri Petronas, pameran sketsa Daerah Samad oleh Sasterawan Negara A. Samad Said. Datin Fatim dengan gembira mencatat di buku kecilnya. ” Kita jumpa di sana ya “. Turun di aras dua saya masuki pasar raya , memilih sebotol madu -multiflora, biskut kering bijiran laut, tempura flour , sekotak kismis, roti bijiran, sekotak susu nesvita - bebas lemak. Cukuplah bekal makan malam nanti.Terima Kasih Tuhan menderaikan gerimis , saya merasa teduh sepanjang hari.