ARUS YANG MENGALIR KE HULU KE HILIR?
26 Julai 2007
KHAMIS
MEMANG kerap saya melangkah dengan cepat tergesa, seperti takut tidak sampai ke arah tujuan. Beberapa kali ditegur suami, ” Melangkahlah dengan tenang, jangan tergesa-gesa, semua akan berjalan dengan baik “. Cepat sangatkah langkah saya berjalan, mendaki dan menuruni bukit kecil di halaman rumah kami di Persiaran Bukit Takun, Taman Rimba Rawang. Rasanya tidak! Begitulah langkah ku sejak dulu. Badanpun merasa rengan dan cepat pula sampai ke arah tuju. Kadang ketika naik ke tingkat empat di bangunan ATMA, gaya begitu juga selalu , padahal, memang sedar langkah begitu tidak harus kulakukan. Usia sudah memasuki rembang petang. Beberapa orang teman sudah mula mengundurkan diri, senyap-senyap di rumah, ada yang meneruskan kerja kegemaran masa muda, mereka menjahit, menyulam, ke ruang perempuan - mengaji ke surau. Tetapi di persekitaran kediamaan lami di kaki bukit itu mana ada surau? Kecualilah kami sering bersenja di surau Tarbiyah, Batu 4 1/4 Jalan Gombak. Atau kalau ke malaman di jalan kami singgah saja di mana ada masjid yang berhampiran. Begitu istimewa kalau kembali ke rumah di Bagan Tengkorak (nah nama kampung diangkat daripada perisitiwa hasil peninggalan Jepun) Tanjung Karang. Berkumpullah para penduduk yang umumnya dipenuhi komuniti keluarga Jawa-Banjar Melayu. Berdengung-dengung menahan nafas, mendengar bisik dan deraian ketawa, ” Kabare, waras, waras Wak”. Kalau berjemaah bersama setelah berbuka puasa, dulang-dulang kueh pun dihidang, kami makan sedulang sambil menunggu azan isya’ sebelum bertarawikh. Bertegur sapa lagi, ‘ Eh, Kaulah anak si Cicik? yang kawin dengan perempuan Kelompo (Kuala Lumpur) tu ‘. Di majlis rewang - kenduri kahwin juga ada suara mencelah ” Kau tu dulu datang pakai gaun putih, ikat reben, pakai setokin dan berkasut - tahun berapa itu..ya tahun 1950an….kau umur 10 tahun laa”.
Ya Tuhan hidup rupanya terus mengalir. Beberapa wanita sebayaku mengingatkan kami pernah berjumpa lebih 40 tahun lalu. Kemudin katanya, ” Terakhir bertemu kau datang dengan makcik dan anak kecilmu- dalam gendongan..ha ketika majlis rewang Mamat lah, ingat tak? ” Saya cuba menjengah pula ke tempoh 28 tahun lalu, memang jelas, datang atau pulang ke kampung itu untuk bersama meraikan perkahwinan sepupuku, Muhammad Nor lulusan Maktab Pertanian di Serdang. Hari minggu lalu (23 Julai) di majlis perkahwinan anak sulung Muhammad Nor berjumpa pula dengan sepupu anak bungsu Pak Long Wahab (dengan isteri pertamanya). Kami berkenalan sehingga beberapa kali dia mengulang ayat yang sama, ” setelah 64 tahun baru jumpa kau, anak Pak Ngah - 64 tahun umurku”. Dia abang sepupu Haji Ramli Wahab, mengenalkan diri, ” Kalau lalu ke Kampung Kuantan, Taman Kelip-kelip, singgahlah di masjid, saya Bilal di masjid Taman Kunang-Kunang. Sungguh tercarik hati ini. Bukankah sejak tahun 1996 saya berulang alik melewati Batang Berjuntai, menghirup kopi di restoran Kelab Golf, beberapa kali keluar masuk ke taman Kunang-kunang (sehingga lahirnya cerpen Kelip-kelip Lukaloka), mengambil gambar rumah-rumah lama yang masih agam, tanpa saya sedari, di masjid itu berada saudaraku Bilal Haji Ramli. Masya Allah, inilah kerabat kami, yang berstatus bilal. Pak Long Wahab bilal di Teluk Anson, Abah bilal di masjid Batu 4 Gombak. Muhammad Nor menyambung tugas bilal, ayahnya di Bagan Tengkorak, dan kini saya menyambut huluran tangan Bilal Haji Ramli. Amin, sejuk terasa rohaniku rohani datuk Talib Batu Bara dan nenek Galuh.
Itulah aliran hidup, mengalir dan mengalir. Kini dauan yang menjalur di permukaan hidup semakin kecil, reput dan pudar. Haripun terselak dengan cepat sehingga kerap ,kita lupa dengan siapakah kita bertutur seminggu lalu, dua hari lalu, atau semalam atau pagi tadi…kau selalu bersendiri juga meniti hari. Kecepatan putaran masa dan hari ini jugalah membuatkan saya selalu ingin cepat bertindak. Melakukan kerja itu bersendirian, memberi idea, dan cepat ingin melaksanakannya. Kadang-kadang terlupakan protokol, dengan siapa saya bertutur, dengan YB bergelar Datok Amzah, Tan Sri Datok Sri Ahmd Sar ke, dengan Ku Yah Puteri Raja ke, dengan penjual tauge di Pasar Tanjung Karang ke, sehingga saya tersentak bila ada ungkapan berbunyi, “…You baru di sini, jadi acara pertemuan ini harus diatur lebih awal, apa lagi nak bawa orang luar ke pusat ini…” Saya tersentak dengan kejahilan ini. Baru tersedar saya sudah bersara dan kalaupun menyambung tugas di tempat pilihan ini pun tanpa ada jabatan khas, hanya sebagai penyelidik berstatus sarjana tamu. Kecuaian saya lagi, tidak bertemu secara berdepan dengan sang ketua 1, hanya melapor kepada ‘pegawai kecil’ tentang acara pertemuan dengan pakar sebidang kami. Sedang impian saya tetap satu, untuk membina kerjasama penyelidik yang bidangnya masih tertinggal dibandingkan dengan bidang sastera dan sains teknolgi. Inilah langkah harian saya yang cepat dan selalu dianggap tergesa itu. Pada hal ia sudah terencana dan tercanai dalam otak sejak saya memilih pusat ini untuk terus melakukan penyelidikan. Nah, buat kami dan kawan-kawan seusia harus patuhi ruang dan waktu kerja anda. Biar lambat asal selamat. Adakah waktu untuk saya kalau berjalan dengan lambat itu. Tuhan kuserahkan segala Arah Cipta-MU.
Bangi
26 Julai 2007: 13:40 - 14:53