Wednesday, December 12, 2007

SEPETAM

12 Disember 2007
 
SEPETAM (Sarjana Penyelidik Tekstil Alam Melayu) masih berusaha meneruskan dialog seni tekstil di ATMA.Ini antara tugas yang kulakukan sejak kembali menjadi Penyelidik Tamu setelah menamatkan kontrak di PPBKKM (2005). 20 orang telah bergabung menjadi ahli sekretariat yang bernaung di ATMA. Antara yang turut terlibat ialah 1) pengkaji/pensyarah di IPT (Dr Norwani Nowawi -UiTM, Dr Haziah Husin (UPM), Dr Zulkifi Muhamad (UM) 2) Kurator Muzium (Roshidah-Muzium Negara) , Intan Salina (Muzium Selangor), Adlin (Muzium Seni Islam
) termasuk pereka pakaian Istana Budaya , Zubaidah Sual. SEPETAM juga membuka ahli kepada pakar teknologi yang dipimpin oleh Prof Dr Husna Zahari (juga pengarah ATMA) yang sedang melengkapkan projek seni bina Istana Trengganu yang pernah diperolehi oleh UKM (1995) . SEPETAM juga disertai  beberapa kelompok para pelajar yang sedang menyiapkan tesis sarjana dan kedoktoran dalam bidang tekstil dan busana Melayu. Antara program yang diadakan pada peringkat awal ialah dialog bersama
Wacana Tekstil” . Para ahli dicadangkan menyampaikan bicara masing-masing mengikut minggu yang mereka pilih sendiri - sesuai dengan waktu dan bidang kecenderungan masing-masing. Hari yang dipersetujui ialah setiap HARI JUMAAT minggu ke 2/3. Walaubagaimanapun Wacana 1 telah disambut oleh Puan Roshidah (MN) dan diadakan pada 9 November 2007 lebih awal dari tarikh yang dirancang. Memandangkan beliau akan berangkat keluar negara, maka wacana ini diadakan pada minggu 1. Alhamdulillah dengan rasa gembira 
dan setengah ragu (pada mulanya) dapat menyampaikan pengalaman beliau belajar seni di UITM dan seterusnya memilih kerja pemuziuman di Muzium Negara. Kerja awal beliau memang rencam, daripada mengatur program pameran adat istiadat perkahwinan, permainan rakyat termasuklah melibatkan kerja pembelian bahan-bahan untuk himpunan muzium. Tegas beliau, kelas seni lukis (batik) yang dipelajarinya di UiTM telah atau lebih dapat dipraktikkan ketika berpeluang berkerja di peringkat bawah. Pengalaman menjadi perekabentuk di industri tekstil di Kelantan menyebabkan beliau ingin mencebur lebih jauh dalam industri seni itu. Mungkin tugas beliau terkini sebagai pembantu kurator dalam usaha menghidupkan Muzium Tekstil (KeKKwa) telah membuka pemahamannya bahawa seni tekstil perlu mendapat kajian yang lebih serius dari pihak yang benar memahami. Bukan bekerja dengan menerima arahan saja. Komen ku, Muzium Tekstil masih juga terbengkalai. Isu bangunan juga masih tertangguh, sungguhkah bangunan klasik di sebelah sungai Gombak itu akan dijadikan tapak Muzium Tekstil?

Bagaimana kalau banjir dan bukankah Dataran Merdeka dan bangunan Sultan Abdul Samad juga telah beberapa kali ditenggelami bah besar? Walaubagaimana pun kami terus saja melakukan kerja perbincangan melalui SEPETAM. Pada hujung tahun ini akan menjemput SUTEX, seorang pereka fesyen yang aktif sejak di zaman SALOMA hinggalah mendapat anugerah Sri Indon , mereka fesyen busana Hang Tuah dalam Wangi Jadi Saksi  atau busana kebaya Perempuan ….teater U-Wei akan sudi  berkongsi dengan ahli SEPETAM. Anda dialukan untuk ikut serta pada 28 Disember 2007, Hari Jumaat pukul 3.00 petang di bilik WACANA ATMA-UKM Bangi. Kita jumpa di sana. Insya Allah.

Posted by Siti Zainon Ismail at 08:42:32 | Permalink | No Comments »