Tuesday, January 22, 2008

PROJEK 2008

Gombak
22 Januari 2008

PESAN Fozan dari Aceh, bila ditanya oleh Profesor Ismail Hussienl ,
 -  mana Siti Zainon?  
 - tak tahu katanya terakhir dengar dia ke Samarinda.
 
Haha, Fozan ini juga kehilangan kakaknya yang bagi setengah sahabat betu-betul aku menghilang. Tidak sobat. Aku masih mundar mandir di bumi Allah SWT yang semakin aneh ini . Kadang menyepi di pondok kami di Tg Karang. Kadang kembali ke Bangi - masih ke kampus UKM sebagai Felo tamu di ATMA. Masih menyiapkan projek Katelog Tekstil UKM yang terbeku di Pusat Pengajian Bahasa, Sastera dan  Kebudayaan Melayu - fakulti Sains Sosial Kemanusiaan. Aneh saja sudah bersara masih terkial-kial merapikan koleksi tenunan Melayu yang telah dikumpulkan sejak tahun 1992.
Cuma kerja di ATMA kubataskan harinya - datang setia hari Selasa dan Jumaat. Hari Jumaat minggu akhir sudah diatur program Wacana SEPETAM. Susah juga nak kumpulkan para sarjana - tapi kami sudah bertekad, walau datang 5 orangpun diskusi tetap dilakukan. Minggu ini 25 Januari, Dr Haziah sudah bersetuju bicara tentang teknik tulang belut baju kurung. Dia sungguh serius mengulang semula teknologi lama ini untuk diajukan ke persada masa kini. 

Program pameran dengan Soka Gakai patutunya sudah selesai tahun lalu. Tapi pihak penganjur mendiamkan sokongan bantuan, sehinggalah seorang pegawai di bahagian Sumber Manusia menghubungi dengan pesan, ’Borang perjanjian telah dikirim, sila isi dan pulangkan segera. Borang tersebut diterima tepat di hari akhir rencana pameran -  jadi terpaksalah diatur lagi dengan tarikh yang sama cuma tahun bertambah setahun lalu. Melukis? ini sakitnya. Kerana sejak Oktober tahun lalu aku tiba-tiba terpanggil untuk menghasilkan busana dipakaikan kepada boneka kecil setinggi  6 “. Kupakaikan baju untuk watak Wan Seri Beni dari Bentan isteri kepada Sang Nila Utama. Baju berkilau emas merata, bersanggul tinggi dengan hias sunting dan bunga jurai. Di Temasik berganti Singa+pura kutemui watak Puteri Nila Pancadi dari keturunan Raja Suran asal titih Zulkarnain dari Bija Negara, dilamar oleh Sang Nila Utama untuk puterinya Raja Muda. Gabungan tekstil luar seperti kain bhandana kujahit ke tubuh Nila Pancadi. Agak rumit juga menjelmakan realiti daripada imaginasi dan gabungan teks Sastera Klasik. Ketika Dr Zakaria Ali berkunjung ke studioku di Templer Impian, terkejut juga dia,

- Wah jahit sendiri pakaian ini? 
- ya la kenapa?
- tak percaya juga, sarjana , pelukis-penyair kini menjahit baju boneka.  

Kuharap tahun 2008 aku lebih santai, menulis, melukis, di celah-celah memahani terjemahan kitab Wajib Utama. Sehingga bicara Kebenaran Mutlak oleh Molim  Ghazali di Wisma PErsatuan Sejarah Jalan Tun Razak itu ku datangi juga di celah keletihan anggota tubuh yang tidak muda lagi. Kami berkumpul (maksudku = otak  / fikir/ minda/ jiwa/ cinta) dengan keletihan juga namun ada sinar yang tiba-tiba menyambut kesegaranan itu. Itu hari Sabtu, 20 Januari . Malamnya aku benar-benar keletihan hingga terlupa dengan khenduri kahwin anak Datuk Fahmi Ibrahim di Perdana Felda, Masya Allah. Esoknya pagi-pagi kurkirim SMS kepada  sahabat sekolah lama itu memohon maaf, tapi tidak berjawab - kecil hatikah sahabatku Fahmi!     

33 tahun bukan jarak waktu yang pendek. Pesan SMS tiba lagi, ‘Sila datang ke Farzana Curry Restoran di Waterfront Ampang. Saya  balik ke Holland 26 Januari. Anak Alam dijemput hadir’. Wah ini pesan sahabat lama kami Rahim yan baru pulang dari rantau setelah memulakan kembara pada tahun 1975. Siapakah yang hadir. Hari Minggu memang malas untuk keluar. Seminggu sudah penuh dengan harian bekerja itu. Tapi inikan makna lebih penting setelah 33 tahun Allah masih menyayanyi hamba-hambanya dan Rahim akan pulang semula ke Holland.Menunggu jam 3 petang hujan sudah merenyai di Bukit Takun. Aku mula ragu untuk berjalan dalam hujan. Tetapi bila suami bersuara dari Rawang,

- di sini, Chaw Kit Road, Ampang tidak hujan, hanya di rumah kita saja hujan , di bukit, pergilah berjumpa sahabat-sahaba lama mu Ma. 

Memang lelaki bergelar suami ini tidak pernah melarang langkahku. Hubungan sahabat lama , saudara mara memang harus kujalin seperti biasa.Betul juga setelah memasuki arah ke Gua Si Tanggang, setitis hujanpun tidak menangis. Jalan juga belum sesibuk yang kusangka (dua hari lagi Taipussam).Di rosteran menghadap sungai  Ampang yang hukunya di Bukit Belachan (alah bergayanya mereka memberi nama Waterfront)  semakin lesu kerana dibentung oleh tembok kaku. Di depan sudah penuh dengan deretan rumah batu….sudah menunggu sahabat kami Rahim (berkepala botak, segaris bekas jahitan membelah kepalanya -kemudian diberi tahu, dua minggu sebelum pulang dia buat pembedahan buang tumor). Dia salah seorang sahabat kami kumpulan Anak Alam yang mengembara antarana Jo, Ali Mabuha. Ali memang sudah menjadi pelukis, beberapa kali membuat pameran di US katanya pameran sukses juga tetapi masih belum sudi balik ke tanahair. Begitu juga Rahim masih belum mampu untuk pulang, masih ada dua orang anak di rantau, belum menjadi pelukis juga. Kemudian muncul Mustapa Ibahim, Mariam, dan Wan A Rafar, Pyanhabib + Zarina, Yusuf Gajah, Yusuf dan Isteri. Menyusul pula Zulkifli Zain, Omar Abdullah, dan Buyung Zazdar. Petang semakin rembang. Kami hanya saling bertukar alamat, tel dan emel. Masih adakah waktu 33 tahun lagi untuk bertemu. Masya Allah, kurniaMu sungguh menakjubkan. Amin Ya Rabbil Alamin dan Alfateha untuk yang sudah pergi. Amin. Untuk sahabat  yang ingin berhubung dengan Rahim inilah alamatnya:
 ABD RAHIM NAZAR, MAASTRICHTKWITIER 37, 1324 DB ALMERE, HOLLAND .
 TEL +31649252862 - emel anakalam1949@hotmail.com    

Posted by Siti Zainon Ismail at 07:58:58 | Permalink | Comments (2)

Monday, January 21, 2008

SUARA KATA PENULIS MUDA

21 JANUARI 2008

PANAS! inilah kata awal yang tercatat dalam  SMS yang masuk. Ini catat seorang wartawan muda BH. Ya panas sungguhkah, isu KOMSAS, bila para bijakpandai, guru profesional atau para panel pemilihan telah menolak karya para SN,  penerima anugerah SEA Write Award, pemenang Hadiah Sastera / Hadiah Sastera Perdana (HSP). DBP belum menyentuh isu berkenaan. Tetapi BH, dengan tegas editornya mula mengusik. DAPATlah dikutip, kononnya karya dari kelompok di atas, agak berat untuk disogohkan kepada pelajar. Siapakah yang merasa berat. Guru atau pelajar? Rupanya inilah yang diucapkan oleh SN ASS ketika kami berkumpul sembang santai di RA Galeri di Jalan AMAN. Hampir 50 orang yang bertamu dalam acara temu di awal bulan Januari 2008. INi acara yang dikendalikan oleh R A yang memang begitu simpati dengan para seniman. Kelompok penulis muda yang muncul memang dari kumpulan penulis bebas, yang meminanti seni penulisan, lukisan, muzik dan teater. Jangan aneh umumnya juga bukan datang dari lulusan sastera. Tetapi setelah lulus di bidang pendidikan yang rencam, seperti agama, teknologi, sains ekonomi ada pula dari bidang sains hayat dan botani…tiba-tiba memilih sastera, menulis, memetik gitar, menggaris warna, ada yang gembira mengumpul tekstil ada pula memetik gambus, gitar..wah inilah gembira ria, seniman muda yang memang mendapat tempat di R A Galeri.

R A itulah yang menjadi pendengar yang baik. Lebih awal dia hanya mengutip segala barang purba- lama, membeli lukiaan, sulam tekat, tekstil seluruh nusantara. Memang dia turut menulis, sebagai wartawan muda sebelum beralir ke dunia guaman.Tanpa kami duga oleh musibah goncang politik tanah air, tiba-tiba dia muncul dengan ruang khas, galeri seni di Jalan Aman. Dan hari Sabtu kelmarin, maka terdengarlah lontaran kata-kata, suara-suara, ada yang resah, ada yang mengusik. iniah karya mereka yang sudah muncul melantun-lantun dalam sawang maya. Itulah ungkapan Fazli , eksekutif muda kerap muncul di ruang pameran, persembahan baca puisi. Iapun melantun-lantun kembaranya ketika berada di Kaherah. Dia bagai mencari , menemui dan ingin berkongsi. Patria Lau pula menyampaikan impian untuk membena menara impian. Catatan manis berkait sindir, perli. Usik marah, jenaka, resah, disampai pula oleh si rambut serabut bergulung atau bergelung (hei berapa lama, rambutmu tidak mandi suci, hehe ) , memetik gitar, entah menjadi atau tidak tapi kami senang juga mendengarnya. Macam suara dan gaya Iwan Fals saja lakunya, tapi bila ia melantunkan lirik  ’hari adalah Asyura/ mana-mana adalah Karbala’ cukup mengusik fikir .Tapi si rambut keriting berpintal itu tetap menyusikk juga, dan liriknya bergerak sinis, ‘Rosmah ramah tamah/pandai berhelah/ tunjuk perasaan di jalan/polis menerkam tiada perasaan. Anak muda di sebelah saya memang anak polis, diapun berdehem-dehem. Usik mengusik idea itu berlanjutan dengan kata spontan Tan Sew Hoon, ‘Belia benci dadah’. Ketawa berderai.Tan dengan cekap memetik gitar. Dia duduk seakan meloncat. Suaranya lancar dan berderai basah.

Jam 17.20  tiba giliran SN ASS. Ungkapan pertamanya, ‘Dunia songsang lara sekarang’. Dia bertanya,
- nak buat apa ini
- bebas apa-apa sajalah ! Jelas R A.
- bagus….sekarang saya tidak akan menerima undangan kalau dijemput
   sebagai SN.

Memang ada rajuk dan sendu dan marah juga suaranya itu. Namun kemudian kembali bahagia menceritakan perjalanannya ke Korea Selatan. Dia dijemput langsung oleh sekretariat Korea, semua dibiayai penuh dan lebih bahagia dia berhadapan langsung dengan tokoh-tokoh senior sastera dan puncaknya dia telah dapat menghasilkan 68 buah soneta yang diberi judul “68 Soneta pohon Gong Gu”

Ada yang bersuara, 
- baca Pak , Soneta Gong Gu
- maaf, itu rahsia tunggu buku barunya

Isu Komsas masih hangat. Masih panas. Beberapa penulis sudah ada yang bersuara, boikot acara bengkel sastera huhuhuhuaaa. Ada suara lain berbisik, apakah SN ASS akan mogok lagi?            
r

Posted by Siti Zainon Ismail at 15:37:02 | Permalink | No Comments »

Saturday, January 12, 2008

MAAL HIJRAH 1429

AMIN AMIN YA RAB

DENGAN penuh syukur demi kemulaanNYA juga kita masih bernafas, sebuah anugerah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang.Kau lihatlah Mentari pagi masih tersenyum ramah menyambutmu.Malam masih membawa deru angin yang menyimbah ke anjung rumah kita, halaman masih bersemi dengan pohonan rimbun, seroja di kolam tetap setia mengembang  kelopak serinya. Apa yang kau perlukan lagi?
Memang kadang-kadang kita harus memilih  kehidupan, memilih lorong kadang, tersasar, lorong berliku, harus kau lalui juga. Ombak di laut masih bergelora, melandai, kadang melambung lagi , kau tergelepar dan kau tetap mencari arah lorong dengan cahaya Mu itu. Tetapkan kutemui. Insya Allah

Posted by Siti Zainon Ismail at 15:59:17 | Permalink | No Comments »