Friday, February 22, 2008

Terima kasih Pyan

GOMBAK
23 Februari 2008.

HA baru pulang dari rimba. Melukis langit bumi dan angin. Sungguh

ejaan itu sudah lama disedari. Cuma waktuku pendek. Amat pendek kadang tidak ada ruang untuk harianku. Oklah, hari ini Cik Melor kita demam, pulanglah tengok dia. Gara-gara berjaga malam sampai dirihari sejak dia pulang dari Melbourne dan Bali, asyik saja dia susun gambar-gambar .  Gila kerja dia hingga 9 buah album saiz besar bertumpuk di meja, di kerusi, di lantai. Bila pulang ni, dia bangun juga kerana harus kemaskan meja makan. Kalau tidak tahulah Mak Bonda ni selalu harus bersih, bersih meja untuk menulis.

Rahim ada berita dari Straat ? Terkejut juga dia dah botak, dengan bekas jahitan lagi. Tidak sempat bertanya apakah dia masih ada waktu melukis di sana. SMS nya hanya mengatakan cuaca amat sejuk saja. Kemudian terus diam. Ali Mabuha juga diam. Oom memang diam-diam ubi saja. Atau diam-diam besi, kerana dia terus melukis besi eh bukan melukis apa ya… Untuk bulan Mac saya menulis di DS tentang puisi dan sketsa tahun 1960-1970 Oom ketika di  rantau. Kubandingkan dengan sketsanya, serigala di atas rumah, rumah-rumah kayu di Sungai Mekong, burung terbang dan pokok bercerangcang dan menjalar ke air - terbalik. Tidak tahu pula dengan  rancangan Anak Alam lain, selalu saja terhambat. PETRONAS dengan J Annu dah mimpi bahan untuk pameran AA. Tapi RA juga ingin buat pameran bang Tapa - dengan kuratornya Sabapathi, eheeh aku pula dimintakan pamerkan sketsa pada bulan Mac ini dengan Dr Jay kita (kami yang senior) + 3 pelukis muda. Wah, Pyan, cari Hanafiah Samad, minta dia cungkil karya-karya puisi AA. Jangan menung-menung merunduk dalam jubah putih tu ya .

      

Posted by Siti Zainon Ismail at 14:14:11 | Permalink | Comments (2)

Friday, February 8, 2008

PESTA - KONGSI RAYA ALA KITA?

Gombak
8 Februari 2008 

AKHIR 2007 hingga awal tahun 2008 ini nampaknya tanahair ku sarat dengan pesta raya. Istilah hari ini kita disebut kongsi raya (ini istilah baru dalam budaya Malaysia). Peristiwa ini tentu disambut gembira rakyat Malaysia untuk berkongsi pesta, makan bersama, saling bersalaman, tak kira apakah itu di hari raya Idilftri, hari raya Haji, bersambut pula Thaipusam-Deepavali, dan sekarang tahun tikus yang disambut gembira kalangan masyarakat Tiongha. Tidak ada masalah juga - kerana kita dapat makan percuma..eh siapa yang keluar modal makan besar itu? Wang Kerajaan - wang rakyat? 

Di sebalik pesta itu, sudah menjadi kebiasaan juga, mass media juga buat hebahan hari gembira itu. Iklan tumbuh saling berlumba membena nama , mencipta identiti atau ikon apakah yang paling menonjol. Kita masih ingat beberapa tahun lalu seorang ibu tunggal memesan anak-anaknya untuk membeli daging, hati, limpa dll untuk dimasak rendang menjelang raya. Dan bayangkan kerana masing-masing anak ingin berbakti, masing-masing ditugaskan mencari organ-organ tersebut.  Takjub dan terkejut, sang ibu tiba-tiba pengsan bila mereka mengheret seekor lembu di atas rakit ! Ada iklan lain, menceritakan persahabatan murid Melayu dengan India.    Mereka berpisah kerana murid lelaki berpeluang belajar ke luar negera. Bila dewasa, dah bekerja mereka bertemu lagi….yang menarik indahnya ialah BAHASA pertuturan mereka dalam iklan tersebut..semua disampaikan dalam bahawa Melayu rasmi - tanpa terasa dibuat-buat dan kita menikmatinya sebagai hasil karya anak tempatan (anak Malaysia - tidak kira ketururannya). Tetapi tahun baru China, tahun tikus ini, benar-benar ibarat….tikus membaiki LABU. Kenapa? Dua bahasa digunakan . Watak Melayu tokoh korporat pun bertutur dalam dua bahasa Inggeris - China….seorang teman Rusia ku bertanya aneh….”Apa sudah jadi ? saya seperti berada di pulau selatan?”

Merintilah  Salbiah Aini, kecewa seperti tercatat dalam ruangan khasnya NAQDU ! Kepada siapa nak mengadu hal ini? Kita dah jelak dengan rintihan- sedih-marah. Jangan salahkan bahasa asing yang digunakan itu. Itu bahasa juga. Tetapi sikap pengurus tempatan yang sengaja meremehkan makna budaya dalam konteks nilai Kebudayaan Kebangsaan?

Fakaruddin lagi kecewa, dengan pameran lukisan yang mempamerkan abjad yang menolak ciri-ciri Kebudayaan Kebangsaan - juga sudah menular ke rumah galeri kebangsaan kita?      

Posted by Siti Zainon Ismail at 14:22:58 | Permalink | No Comments »

Tuesday, February 5, 2008

SATU PETANG DI NUIN RESTORAN

BANDAR BARU BANGI
5 Februari 2008
16.40

AKHIRNYA kutemui juga restoran - kafe yang kucari. Kafe sederhana yang menyediakan resepi kampung. Bahagian luar, terbuka dengan meja bulat dan kerusi warna jingga. Senarai menu juga bernada Melayu,  antaranya Nu in popia (la yang belakang ini, memang bukan asalnya bukan kuih  ibunda la)…tapi makanannya memang kugemari , ada pula roti  bakar Tanjung Malim…wah, Dr Rosnah dah tahu ke tentang kafe ini. Akhinya ku tinjau di bahagian dalam - berhawa dingin,  ooo ada komputer juga , tujuh biji…wah inilagi membuatkan hatiku bernyanyi. Maaf Naz, aku pulang lewat malam ini (jarak Bangi-Rawang 58 km).

Di belakangku terdengar keterangan, ” oh di sini memang terkenal dengan popianya…”

Popia pesananku pun tiba, dengan segelas besar teh berperisa limau…huhuhaa Melor di mana anda? Masih di meja di BNM itu juga -pause…Rasa pesanan popia mu dah tiba.

Memang dapat kurasa perisa popianya, bau bumbu kacang, hirisan sengkuang, berderup ketika memamahnya. Dua kerat (dipotong dua) cukup nikmat, kusambung tulisan lagi…pelayan telah menghantar kek berlauk sepotong (70 sen)…sudah dihidang di meja…aku teringat Tuminah asal Surabaya yang belajar resepi chef Wan di TV…pernah jug mencuba resepi ini….seorang pembantu yang cekap belajar walau tidak tahu menulis dan membaca - tapi otaknya ligat meniru belajar memasak dan menjahit. Dan petang ini dengan putaran muzik jez, dengan hiasan lataran gambar nuansa Perak, menara condong, Istana Kuasa Kangsar, masjid Bukt Chandan..wah sempurna warisan Perak di Nu in Restoren - Kafe.
Esok program pagiku ke RA Galeri, untuk memilih kumpulan sketsa pameran pada bulan Mac. Ir Mastor juga akan datang untuk meninjau, gaya pameran tekstil….perlukah ku katakan kepad RA agar dia juga dapat melengkapkan galeri dengan kafe seni ?

Wah, aku ingin menikmati kek berlauk. Terima kasih kepada pemilik kafe  cantik petang ini. Terima kasih Ina yang sudi menemani ku untuk mencicipi makanan Perak petang ini.

Posted by Siti Zainon Ismail at 10:59:19 | Permalink | Comments (2)

TUJUH BULAN DI BILIK 2408

ATMA
5 Jan 2008
 

ALHAMDULILLAH, matahari bersinar cantik pagi ini. Hilir mudik perjalanan manusia terus berliku. Kadang lurus tak bertunjang. Lancip meranting pula. Begitu juga  beberapa tulisan sastera semakin memilukan. Setelah SN Negara menolak gelaran anugerahnya dipakai di pangkal nama -  kalau diundang memberi ceramah sastera tidak akan datang kalau dilabelkan sebagai SN.  Itulah akuannya dalam acara santai penulis muda di Galeri R A, Jalan Aman (eh amankah KL sekarang). Namun mujur juga , di kalangan seni lukis masih boleh menemuinya - beliau sudi datang setiap kali acara pameran lukisan dirasmikan. Setiap sapaan , sejak setahun lalu masih sama :

- ” Bila buku Non itu nak siap?”

Itulah nasib buku itu. Hasil tulisan dan sketsa sejak tahun 2002 masih tergantung.
 
- ” Ya hampir siap” (kupujuk hati -     jangan merajuk)   

   Ya aku bersedia menjawab demikian kerana semalam (Isnin) Azian editor nya menunjukkan lay out cover KASIH BONDA -Kampung Paya Kami. Samsul pula sudah menunjukkan lay out Kalender - 12 sketsa pilihan . Balai Seni Lukis sudah ku risik.

- ” Sudi bantu  buat pelancaran buku dan mini pameran Kampung Paya Kami?”  Nita angguk dengan bersyarat
 
- ” Sediakan proposal rasmi, hantar ke Pengarah”. 

Kusampaikan ke Azian, nampak cerah senyumannya,

- ” Baik juga kita lancarkan buku tersebut di luar DBP “
 
- ” Buku itu untuk sokongan dana, membaiki surau kami, dalam buku tu dah kuceritakan di surau itulah dulu kami mengaji (th 1950an). Kalau,  kampung ku nak dipindahkan, aduh, saya yang dulu protes… ”

- ” Ha, nak dipindahkan kenapa ? “

- ” Kota kan citra pembangunan - yang lama tak sesuai tinggal di kota , kami dicadang akan dipindah ke tapak baru - ya di  hutan Semai itulah agaknya tempat baru kami”.

Kau lihatlah  di sekitar jalan Gombak, rumah warisan ketua kampung, orang besar Setapak - Gombak sudah kehilangan tangga dan tebar layar terpancung - jalan meluncur hingga  ke tapak halaman (Mujur semua rumah tradisional itu sudah dirakam oleh Allahyarham NA Halim , lih buku beliau, Rumah Melayu Tradisional). Rumah Ketua Orang Kuantan, di Batu 4, lansung hilang - memang dibayarlah untuk tapak itu , tapi siapakah yang sanggup membayar kesedihan semangat - akan kehilangan warisan?  

Siang ini, di bilik mantan Almarhum  Prof  Dr Syed Hussein Al Atas, kukutip sisa-sisa buku beliau, tumpukan buku, kertas kerja, diari kosong tidak bercatat, plat nama. Ku ketuk meja besar, ku jamah almari kayu, ya hampir tujuh bulan aku ditempatkan di sini. Sesekali seakan mendengar dehemnya, terbayang langkahnya perlahan menuruni mata anak tangga di aras empat bangunan ATMA, menuju ke kereta antiknya, hijau berlumut, warnanya  sompek sana sini, masih gagah juga dia memandu sendirian.  Beberapa kertas kerja yang disemak, kertas projek mahasiswa yang dibimbingnya ” Kajian Kampung Quop , Orang Bidayuh ” oleh El Sheila Kanawathi, projek Ijazah Sarjana Muda Antrosos. Ada kerja kursus ZT 3123,  Falsafah Pembangunan Kepercayaan Purba disendiakan oleh Nooryah Noordin ( A  60991). Tesis untuk Sarjana Falsafah  oleh Hasnan Kassan , ” Pengaruh Institusi Fatwa dalam Aktiviti Masyarakat Islam Melaysia (1991)…masih belum sempat ku habis membacanya. Tumpukan tesis kertas kerja masih bersisa, tiada yang mengambil dan menyimpanya. Sebentar lagi aku  akan mengucapkan selamat tinggal kepada bilik tumpangan sementara ini -  dipindahkan ke bilik lain, bilik yang menaytu dengan makmal kuliah bahasa ,  kerana bilik mantan Allahyarham Prof Syedd Husin akan dimasuki prof baru. Sebagai mantan profesor juga,  kontrak saya hanya setahun saja….selepas ini masih berkira akan mengisi atau tidak kontrak baru. Selamat tinggal wahai buku2-wahai kertas kerja, semoga kalian mendapat semangat baru yang mengembirakan bila prof baru  masuk ke bilik ini esok pagi. Al Fatiha…buat prof Almarhum. Amin           
 

Posted by Siti Zainon Ismail at 04:39:17 | Permalink | Comments (2)