TUJUH BULAN DI BILIK 2408
5 Jan 2008
ALHAMDULILLAH, matahari bersinar cantik pagi ini. Hilir mudik perjalanan manusia terus berliku. Kadang lurus tak bertunjang. Lancip meranting pula. Begitu juga beberapa tulisan sastera semakin memilukan. Setelah SN Negara menolak gelaran anugerahnya dipakai di pangkal nama - kalau diundang memberi ceramah sastera tidak akan datang kalau dilabelkan sebagai SN. Itulah akuannya dalam acara santai penulis muda di Galeri R A, Jalan Aman (eh amankah KL sekarang). Namun mujur juga , di kalangan seni lukis masih boleh menemuinya - beliau sudi datang setiap kali acara pameran lukisan dirasmikan. Setiap sapaan , sejak setahun lalu masih sama :
- ” Bila buku Non itu nak siap?”
Itulah nasib buku itu. Hasil tulisan dan sketsa sejak tahun 2002 masih tergantung.
- ” Ya hampir siap” (kupujuk hati - jangan merajuk)
Ya aku bersedia menjawab demikian kerana semalam (Isnin) Azian editor nya menunjukkan lay out cover KASIH BONDA -Kampung Paya Kami. Samsul pula sudah menunjukkan lay out Kalender - 12 sketsa pilihan . Balai Seni Lukis sudah ku risik.
- ” Sudi bantu buat pelancaran buku dan mini pameran Kampung Paya Kami?” Nita angguk dengan bersyarat
- ” Sediakan proposal rasmi, hantar ke Pengarah”.
Kusampaikan ke Azian, nampak cerah senyumannya,
- ” Baik juga kita lancarkan buku tersebut di luar DBP “
- ” Buku itu untuk sokongan dana, membaiki surau kami, dalam buku tu dah kuceritakan di surau itulah dulu kami mengaji (th 1950an). Kalau, kampung ku nak dipindahkan, aduh, saya yang dulu protes… ”
- ” Ha, nak dipindahkan kenapa ? “
- ” Kota kan citra pembangunan - yang lama tak sesuai tinggal di kota , kami dicadang akan dipindah ke tapak baru - ya di hutan Semai itulah agaknya tempat baru kami”.
Kau lihatlah di sekitar jalan Gombak, rumah warisan ketua kampung, orang besar Setapak - Gombak sudah kehilangan tangga dan tebar layar terpancung - jalan meluncur hingga ke tapak halaman (Mujur semua rumah tradisional itu sudah dirakam oleh Allahyarham NA Halim , lih buku beliau, Rumah Melayu Tradisional). Rumah Ketua Orang Kuantan, di Batu 4, lansung hilang - memang dibayarlah untuk tapak itu , tapi siapakah yang sanggup membayar kesedihan semangat - akan kehilangan warisan?
Siang ini, di bilik mantan Almarhum Prof Dr Syed Hussein Al Atas, kukutip sisa-sisa buku beliau, tumpukan buku, kertas kerja, diari kosong tidak bercatat, plat nama. Ku ketuk meja besar, ku jamah almari kayu, ya hampir tujuh bulan aku ditempatkan di sini. Sesekali seakan mendengar dehemnya, terbayang langkahnya perlahan menuruni mata anak tangga di aras empat bangunan ATMA, menuju ke kereta antiknya, hijau berlumut, warnanya sompek sana sini, masih gagah juga dia memandu sendirian. Beberapa kertas kerja yang disemak, kertas projek mahasiswa yang dibimbingnya ” Kajian Kampung Quop , Orang Bidayuh ” oleh El Sheila Kanawathi, projek Ijazah Sarjana Muda Antrosos. Ada kerja kursus ZT 3123, Falsafah Pembangunan Kepercayaan Purba disendiakan oleh Nooryah Noordin ( A 60991). Tesis untuk Sarjana Falsafah oleh Hasnan Kassan , ” Pengaruh Institusi Fatwa dalam Aktiviti Masyarakat Islam Melaysia (1991)…masih belum sempat ku habis membacanya. Tumpukan tesis kertas kerja masih bersisa, tiada yang mengambil dan menyimpanya. Sebentar lagi aku akan mengucapkan selamat tinggal kepada bilik tumpangan sementara ini - dipindahkan ke bilik lain, bilik yang menaytu dengan makmal kuliah bahasa , kerana bilik mantan Allahyarham Prof Syedd Husin akan dimasuki prof baru. Sebagai mantan profesor juga, kontrak saya hanya setahun saja….selepas ini masih berkira akan mengisi atau tidak kontrak baru. Selamat tinggal wahai buku2-wahai kertas kerja, semoga kalian mendapat semangat baru yang mengembirakan bila prof baru masuk ke bilik ini esok pagi. Al Fatiha…buat prof Almarhum. Amin
melayu sudah kehilangan rentak kaki
” dimana gendang berbunyi disitulah rentak kaki” kak siti… tulisan kak siti jauh isinya, jika ia arus bisa menghilir kali gombak hingga ke selat melaka yg hilang tahtanya.
Dan rumah warisan yang tersisa di Kg Bandar Dalam juga akan ditelaN naga mabuk kuasa. Selamatkan kampung kita! Datanglah 10 Ogos 2008 jam 10 pagi, acara pelancaran buku KASIH BONDA KAMPUNG PAYA KAMI. Himpunan pelukis-penyair Gombak di MADRASAH TARBIYAH JALAN GOMBAK, BATU 4 1/4, KUALA LUMPUR