Tuesday, January 22, 2008

PROJEK 2008

Gombak
22 Januari 2008

PESAN Fozan dari Aceh, bila ditanya oleh Profesor Ismail Hussienl ,
 -  mana Siti Zainon?  
 - tak tahu katanya terakhir dengar dia ke Samarinda.
 
Haha, Fozan ini juga kehilangan kakaknya yang bagi setengah sahabat betu-betul aku menghilang. Tidak sobat. Aku masih mundar mandir di bumi Allah SWT yang semakin aneh ini . Kadang menyepi di pondok kami di Tg Karang. Kadang kembali ke Bangi - masih ke kampus UKM sebagai Felo tamu di ATMA. Masih menyiapkan projek Katelog Tekstil UKM yang terbeku di Pusat Pengajian Bahasa, Sastera dan  Kebudayaan Melayu - fakulti Sains Sosial Kemanusiaan. Aneh saja sudah bersara masih terkial-kial merapikan koleksi tenunan Melayu yang telah dikumpulkan sejak tahun 1992.
Cuma kerja di ATMA kubataskan harinya - datang setia hari Selasa dan Jumaat. Hari Jumaat minggu akhir sudah diatur program Wacana SEPETAM. Susah juga nak kumpulkan para sarjana - tapi kami sudah bertekad, walau datang 5 orangpun diskusi tetap dilakukan. Minggu ini 25 Januari, Dr Haziah sudah bersetuju bicara tentang teknik tulang belut baju kurung. Dia sungguh serius mengulang semula teknologi lama ini untuk diajukan ke persada masa kini. 

Program pameran dengan Soka Gakai patutunya sudah selesai tahun lalu. Tapi pihak penganjur mendiamkan sokongan bantuan, sehinggalah seorang pegawai di bahagian Sumber Manusia menghubungi dengan pesan, ’Borang perjanjian telah dikirim, sila isi dan pulangkan segera. Borang tersebut diterima tepat di hari akhir rencana pameran -  jadi terpaksalah diatur lagi dengan tarikh yang sama cuma tahun bertambah setahun lalu. Melukis? ini sakitnya. Kerana sejak Oktober tahun lalu aku tiba-tiba terpanggil untuk menghasilkan busana dipakaikan kepada boneka kecil setinggi  6 “. Kupakaikan baju untuk watak Wan Seri Beni dari Bentan isteri kepada Sang Nila Utama. Baju berkilau emas merata, bersanggul tinggi dengan hias sunting dan bunga jurai. Di Temasik berganti Singa+pura kutemui watak Puteri Nila Pancadi dari keturunan Raja Suran asal titih Zulkarnain dari Bija Negara, dilamar oleh Sang Nila Utama untuk puterinya Raja Muda. Gabungan tekstil luar seperti kain bhandana kujahit ke tubuh Nila Pancadi. Agak rumit juga menjelmakan realiti daripada imaginasi dan gabungan teks Sastera Klasik. Ketika Dr Zakaria Ali berkunjung ke studioku di Templer Impian, terkejut juga dia,

- Wah jahit sendiri pakaian ini? 
- ya la kenapa?
- tak percaya juga, sarjana , pelukis-penyair kini menjahit baju boneka.  

Kuharap tahun 2008 aku lebih santai, menulis, melukis, di celah-celah memahani terjemahan kitab Wajib Utama. Sehingga bicara Kebenaran Mutlak oleh Molim  Ghazali di Wisma PErsatuan Sejarah Jalan Tun Razak itu ku datangi juga di celah keletihan anggota tubuh yang tidak muda lagi. Kami berkumpul (maksudku = otak  / fikir/ minda/ jiwa/ cinta) dengan keletihan juga namun ada sinar yang tiba-tiba menyambut kesegaranan itu. Itu hari Sabtu, 20 Januari . Malamnya aku benar-benar keletihan hingga terlupa dengan khenduri kahwin anak Datuk Fahmi Ibrahim di Perdana Felda, Masya Allah. Esoknya pagi-pagi kurkirim SMS kepada  sahabat sekolah lama itu memohon maaf, tapi tidak berjawab - kecil hatikah sahabatku Fahmi!     

33 tahun bukan jarak waktu yang pendek. Pesan SMS tiba lagi, ‘Sila datang ke Farzana Curry Restoran di Waterfront Ampang. Saya  balik ke Holland 26 Januari. Anak Alam dijemput hadir’. Wah ini pesan sahabat lama kami Rahim yan baru pulang dari rantau setelah memulakan kembara pada tahun 1975. Siapakah yang hadir. Hari Minggu memang malas untuk keluar. Seminggu sudah penuh dengan harian bekerja itu. Tapi inikan makna lebih penting setelah 33 tahun Allah masih menyayanyi hamba-hambanya dan Rahim akan pulang semula ke Holland.Menunggu jam 3 petang hujan sudah merenyai di Bukit Takun. Aku mula ragu untuk berjalan dalam hujan. Tetapi bila suami bersuara dari Rawang,

- di sini, Chaw Kit Road, Ampang tidak hujan, hanya di rumah kita saja hujan , di bukit, pergilah berjumpa sahabat-sahaba lama mu Ma. 

Memang lelaki bergelar suami ini tidak pernah melarang langkahku. Hubungan sahabat lama , saudara mara memang harus kujalin seperti biasa.Betul juga setelah memasuki arah ke Gua Si Tanggang, setitis hujanpun tidak menangis. Jalan juga belum sesibuk yang kusangka (dua hari lagi Taipussam).Di rosteran menghadap sungai  Ampang yang hukunya di Bukit Belachan (alah bergayanya mereka memberi nama Waterfront)  semakin lesu kerana dibentung oleh tembok kaku. Di depan sudah penuh dengan deretan rumah batu….sudah menunggu sahabat kami Rahim (berkepala botak, segaris bekas jahitan membelah kepalanya -kemudian diberi tahu, dua minggu sebelum pulang dia buat pembedahan buang tumor). Dia salah seorang sahabat kami kumpulan Anak Alam yang mengembara antarana Jo, Ali Mabuha. Ali memang sudah menjadi pelukis, beberapa kali membuat pameran di US katanya pameran sukses juga tetapi masih belum sudi balik ke tanahair. Begitu juga Rahim masih belum mampu untuk pulang, masih ada dua orang anak di rantau, belum menjadi pelukis juga. Kemudian muncul Mustapa Ibahim, Mariam, dan Wan A Rafar, Pyanhabib + Zarina, Yusuf Gajah, Yusuf dan Isteri. Menyusul pula Zulkifli Zain, Omar Abdullah, dan Buyung Zazdar. Petang semakin rembang. Kami hanya saling bertukar alamat, tel dan emel. Masih adakah waktu 33 tahun lagi untuk bertemu. Masya Allah, kurniaMu sungguh menakjubkan. Amin Ya Rabbil Alamin dan Alfateha untuk yang sudah pergi. Amin. Untuk sahabat  yang ingin berhubung dengan Rahim inilah alamatnya:
 ABD RAHIM NAZAR, MAASTRICHTKWITIER 37, 1324 DB ALMERE, HOLLAND .
 TEL +31649252862 - emel anakalam1949@hotmail.com    

Posted by Siti Zainon Ismail at 07:58:58 | Permalink | Comments (2)

Monday, January 21, 2008

SUARA KATA PENULIS MUDA

21 JANUARI 2008

PANAS! inilah kata awal yang tercatat dalam  SMS yang masuk. Ini catat seorang wartawan muda BH. Ya panas sungguhkah, isu KOMSAS, bila para bijakpandai, guru profesional atau para panel pemilihan telah menolak karya para SN,  penerima anugerah SEA Write Award, pemenang Hadiah Sastera / Hadiah Sastera Perdana (HSP). DBP belum menyentuh isu berkenaan. Tetapi BH, dengan tegas editornya mula mengusik. DAPATlah dikutip, kononnya karya dari kelompok di atas, agak berat untuk disogohkan kepada pelajar. Siapakah yang merasa berat. Guru atau pelajar? Rupanya inilah yang diucapkan oleh SN ASS ketika kami berkumpul sembang santai di RA Galeri di Jalan AMAN. Hampir 50 orang yang bertamu dalam acara temu di awal bulan Januari 2008. INi acara yang dikendalikan oleh R A yang memang begitu simpati dengan para seniman. Kelompok penulis muda yang muncul memang dari kumpulan penulis bebas, yang meminanti seni penulisan, lukisan, muzik dan teater. Jangan aneh umumnya juga bukan datang dari lulusan sastera. Tetapi setelah lulus di bidang pendidikan yang rencam, seperti agama, teknologi, sains ekonomi ada pula dari bidang sains hayat dan botani…tiba-tiba memilih sastera, menulis, memetik gitar, menggaris warna, ada yang gembira mengumpul tekstil ada pula memetik gambus, gitar..wah inilah gembira ria, seniman muda yang memang mendapat tempat di R A Galeri.

R A itulah yang menjadi pendengar yang baik. Lebih awal dia hanya mengutip segala barang purba- lama, membeli lukiaan, sulam tekat, tekstil seluruh nusantara. Memang dia turut menulis, sebagai wartawan muda sebelum beralir ke dunia guaman.Tanpa kami duga oleh musibah goncang politik tanah air, tiba-tiba dia muncul dengan ruang khas, galeri seni di Jalan Aman. Dan hari Sabtu kelmarin, maka terdengarlah lontaran kata-kata, suara-suara, ada yang resah, ada yang mengusik. iniah karya mereka yang sudah muncul melantun-lantun dalam sawang maya. Itulah ungkapan Fazli , eksekutif muda kerap muncul di ruang pameran, persembahan baca puisi. Iapun melantun-lantun kembaranya ketika berada di Kaherah. Dia bagai mencari , menemui dan ingin berkongsi. Patria Lau pula menyampaikan impian untuk membena menara impian. Catatan manis berkait sindir, perli. Usik marah, jenaka, resah, disampai pula oleh si rambut serabut bergulung atau bergelung (hei berapa lama, rambutmu tidak mandi suci, hehe ) , memetik gitar, entah menjadi atau tidak tapi kami senang juga mendengarnya. Macam suara dan gaya Iwan Fals saja lakunya, tapi bila ia melantunkan lirik  ’hari adalah Asyura/ mana-mana adalah Karbala’ cukup mengusik fikir .Tapi si rambut keriting berpintal itu tetap menyusikk juga, dan liriknya bergerak sinis, ‘Rosmah ramah tamah/pandai berhelah/ tunjuk perasaan di jalan/polis menerkam tiada perasaan. Anak muda di sebelah saya memang anak polis, diapun berdehem-dehem. Usik mengusik idea itu berlanjutan dengan kata spontan Tan Sew Hoon, ‘Belia benci dadah’. Ketawa berderai.Tan dengan cekap memetik gitar. Dia duduk seakan meloncat. Suaranya lancar dan berderai basah.

Jam 17.20  tiba giliran SN ASS. Ungkapan pertamanya, ‘Dunia songsang lara sekarang’. Dia bertanya,
- nak buat apa ini
- bebas apa-apa sajalah ! Jelas R A.
- bagus….sekarang saya tidak akan menerima undangan kalau dijemput
   sebagai SN.

Memang ada rajuk dan sendu dan marah juga suaranya itu. Namun kemudian kembali bahagia menceritakan perjalanannya ke Korea Selatan. Dia dijemput langsung oleh sekretariat Korea, semua dibiayai penuh dan lebih bahagia dia berhadapan langsung dengan tokoh-tokoh senior sastera dan puncaknya dia telah dapat menghasilkan 68 buah soneta yang diberi judul “68 Soneta pohon Gong Gu”

Ada yang bersuara, 
- baca Pak , Soneta Gong Gu
- maaf, itu rahsia tunggu buku barunya

Isu Komsas masih hangat. Masih panas. Beberapa penulis sudah ada yang bersuara, boikot acara bengkel sastera huhuhuhuaaa. Ada suara lain berbisik, apakah SN ASS akan mogok lagi?            
r

Posted by Siti Zainon Ismail at 15:37:02 | Permalink | No Comments »

Saturday, January 12, 2008

MAAL HIJRAH 1429

AMIN AMIN YA RAB

DENGAN penuh syukur demi kemulaanNYA juga kita masih bernafas, sebuah anugerah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang.Kau lihatlah Mentari pagi masih tersenyum ramah menyambutmu.Malam masih membawa deru angin yang menyimbah ke anjung rumah kita, halaman masih bersemi dengan pohonan rimbun, seroja di kolam tetap setia mengembang  kelopak serinya. Apa yang kau perlukan lagi?
Memang kadang-kadang kita harus memilih  kehidupan, memilih lorong kadang, tersasar, lorong berliku, harus kau lalui juga. Ombak di laut masih bergelora, melandai, kadang melambung lagi , kau tergelepar dan kau tetap mencari arah lorong dengan cahaya Mu itu. Tetapkan kutemui. Insya Allah

Posted by Siti Zainon Ismail at 15:59:17 | Permalink | No Comments »

Wednesday, December 12, 2007

SEPETAM

12 Disember 2007
 
SEPETAM (Sarjana Penyelidik Tekstil Alam Melayu) masih berusaha meneruskan dialog seni tekstil di ATMA.Ini antara tugas yang kulakukan sejak kembali menjadi Penyelidik Tamu setelah menamatkan kontrak di PPBKKM (2005). 20 orang telah bergabung menjadi ahli sekretariat yang bernaung di ATMA. Antara yang turut terlibat ialah 1) pengkaji/pensyarah di IPT (Dr Norwani Nowawi -UiTM, Dr Haziah Husin (UPM), Dr Zulkifi Muhamad (UM) 2) Kurator Muzium (Roshidah-Muzium Negara) , Intan Salina (Muzium Selangor), Adlin (Muzium Seni Islam
) termasuk pereka pakaian Istana Budaya , Zubaidah Sual. SEPETAM juga membuka ahli kepada pakar teknologi yang dipimpin oleh Prof Dr Husna Zahari (juga pengarah ATMA) yang sedang melengkapkan projek seni bina Istana Trengganu yang pernah diperolehi oleh UKM (1995) . SEPETAM juga disertai  beberapa kelompok para pelajar yang sedang menyiapkan tesis sarjana dan kedoktoran dalam bidang tekstil dan busana Melayu. Antara program yang diadakan pada peringkat awal ialah dialog bersama
Wacana Tekstil” . Para ahli dicadangkan menyampaikan bicara masing-masing mengikut minggu yang mereka pilih sendiri - sesuai dengan waktu dan bidang kecenderungan masing-masing. Hari yang dipersetujui ialah setiap HARI JUMAAT minggu ke 2/3. Walaubagaimanapun Wacana 1 telah disambut oleh Puan Roshidah (MN) dan diadakan pada 9 November 2007 lebih awal dari tarikh yang dirancang. Memandangkan beliau akan berangkat keluar negara, maka wacana ini diadakan pada minggu 1. Alhamdulillah dengan rasa gembira 
dan setengah ragu (pada mulanya) dapat menyampaikan pengalaman beliau belajar seni di UITM dan seterusnya memilih kerja pemuziuman di Muzium Negara. Kerja awal beliau memang rencam, daripada mengatur program pameran adat istiadat perkahwinan, permainan rakyat termasuklah melibatkan kerja pembelian bahan-bahan untuk himpunan muzium. Tegas beliau, kelas seni lukis (batik) yang dipelajarinya di UiTM telah atau lebih dapat dipraktikkan ketika berpeluang berkerja di peringkat bawah. Pengalaman menjadi perekabentuk di industri tekstil di Kelantan menyebabkan beliau ingin mencebur lebih jauh dalam industri seni itu. Mungkin tugas beliau terkini sebagai pembantu kurator dalam usaha menghidupkan Muzium Tekstil (KeKKwa) telah membuka pemahamannya bahawa seni tekstil perlu mendapat kajian yang lebih serius dari pihak yang benar memahami. Bukan bekerja dengan menerima arahan saja. Komen ku, Muzium Tekstil masih juga terbengkalai. Isu bangunan juga masih tertangguh, sungguhkah bangunan klasik di sebelah sungai Gombak itu akan dijadikan tapak Muzium Tekstil?

Bagaimana kalau banjir dan bukankah Dataran Merdeka dan bangunan Sultan Abdul Samad juga telah beberapa kali ditenggelami bah besar? Walaubagaimana pun kami terus saja melakukan kerja perbincangan melalui SEPETAM. Pada hujung tahun ini akan menjemput SUTEX, seorang pereka fesyen yang aktif sejak di zaman SALOMA hinggalah mendapat anugerah Sri Indon , mereka fesyen busana Hang Tuah dalam Wangi Jadi Saksi  atau busana kebaya Perempuan ….teater U-Wei akan sudi  berkongsi dengan ahli SEPETAM. Anda dialukan untuk ikut serta pada 28 Disember 2007, Hari Jumaat pukul 3.00 petang di bilik WACANA ATMA-UKM Bangi. Kita jumpa di sana. Insya Allah.

Posted by Siti Zainon Ismail at 08:42:32 | Permalink | No Comments »

Wednesday, August 1, 2007

SAMARINDA KOTA TEPIAN

1 0G0S 2007

SAMARINDA  KOTA IMPIAN

 

INGAT? YA DIRI TERHANTAR juga ke kota impian. Kota Samarinda Tepiang. Kota sama rendah dengan air dan rawa-rawa. Telah dua hari tiba di sini untuk  kerja MASTERA. Berkenalan  dengan Irianto Ibrahim putera dari Buton. Inikah potret yang telah kutemu dalam cerpen Rindu  Pala Muda. Darah pernah tumpah, dilibas oleh parang  darah dan cinta dan air mata. seharian  kami meredah sungai Mahakam, melukis potret dengan tubuh raksaksa batu bara diheret dari hulu menuju kuala. siapakah meratah harta rakyat samarinda?

Posted by Siti Zainon Ismail at 12:51:02 | Permalink | No Comments »

Thursday, July 26, 2007

ARUS YANG MENGALIR KE HULU KE HILIR?

26 Julai 2007

KHAMIS

MEMANG kerap saya melangkah dengan cepat tergesa, seperti takut tidak sampai ke arah tujuan. Beberapa kali ditegur suami, ” Melangkahlah dengan tenang, jangan tergesa-gesa, semua akan berjalan dengan baik “. Cepat sangatkah langkah saya berjalan, mendaki dan menuruni bukit  kecil di halaman rumah kami di Persiaran Bukit Takun, Taman Rimba Rawang. Rasanya tidak! Begitulah langkah ku sejak dulu. Badanpun merasa rengan dan cepat pula sampai ke arah tuju. Kadang ketika naik ke tingkat empat di bangunan ATMA, gaya begitu juga selalu , padahal, memang sedar langkah begitu tidak harus kulakukan. Usia sudah memasuki rembang petang. Beberapa orang teman sudah mula mengundurkan diri, senyap-senyap di rumah, ada yang meneruskan kerja kegemaran masa muda, mereka menjahit, menyulam, ke ruang perempuan - mengaji ke surau. Tetapi di persekitaran kediamaan lami  di kaki bukit itu mana ada surau? Kecualilah kami sering bersenja di surau Tarbiyah, Batu 4 1/4 Jalan Gombak. Atau kalau  ke malaman di jalan kami singgah saja di mana ada masjid yang berhampiran.  Begitu istimewa kalau kembali ke rumah di Bagan Tengkorak (nah nama kampung diangkat daripada perisitiwa hasil peninggalan Jepun) Tanjung Karang. Berkumpullah para penduduk yang umumnya dipenuhi komuniti keluarga Jawa-Banjar Melayu. Berdengung-dengung menahan nafas,  mendengar bisik dan deraian ketawa, ” Kabare, waras, waras Wak”. Kalau berjemaah bersama setelah berbuka puasa, dulang-dulang kueh pun dihidang, kami makan sedulang sambil menunggu azan isya’ sebelum bertarawikh. Bertegur sapa lagi, ‘ Eh, Kaulah anak si Cicik? yang kawin dengan perempuan Kelompo (Kuala Lumpur) tu ‘. Di majlis rewang - kenduri kahwin juga ada suara mencelah ” Kau tu dulu datang pakai gaun putih, ikat reben, pakai setokin dan berkasut - tahun berapa itu..ya tahun 1950an….kau  umur 10 tahun laa”. 

 Ya Tuhan hidup rupanya terus mengalir. Beberapa wanita sebayaku mengingatkan kami pernah berjumpa lebih 40 tahun lalu.  Kemudin katanya, ” Terakhir bertemu kau datang dengan         makcik dan anak kecilmu- dalam gendongan..ha ketika majlis rewang Mamat lah, ingat tak?   ” Saya cuba menjengah pula ke tempoh 28 tahun lalu, memang jelas, datang atau pulang  ke kampung itu untuk bersama meraikan perkahwinan sepupuku, Muhammad Nor lulusan  Maktab Pertanian di Serdang. Hari minggu lalu (23 Julai) di majlis perkahwinan anak sulung Muhammad Nor berjumpa pula dengan sepupu  anak bungsu Pak Long Wahab (dengan isteri pertamanya). Kami berkenalan sehingga beberapa kali dia mengulang ayat yang sama, ” setelah 64 tahun baru jumpa kau, anak Pak Ngah - 64 tahun umurku”. Dia abang sepupu  Haji Ramli Wahab, mengenalkan diri, ” Kalau lalu ke Kampung Kuantan, Taman Kelip-kelip, singgahlah di masjid, saya Bilal di masjid Taman Kunang-Kunang.  Sungguh tercarik hati ini. Bukankah sejak tahun 1996 saya berulang alik melewati Batang Berjuntai, menghirup kopi di restoran  Kelab Golf, beberapa  kali keluar masuk ke taman Kunang-kunang (sehingga lahirnya cerpen Kelip-kelip Lukaloka), mengambil gambar rumah-rumah lama yang masih agam, tanpa saya sedari, di masjid itu berada saudaraku Bilal Haji Ramli. Masya Allah, inilah kerabat kami, yang berstatus bilal. Pak Long Wahab bilal di Teluk Anson, Abah bilal di masjid Batu 4 Gombak. Muhammad Nor menyambung tugas bilal, ayahnya di Bagan  Tengkorak, dan kini saya menyambut huluran tangan Bilal  Haji Ramli. Amin, sejuk terasa rohaniku rohani datuk  Talib Batu Bara dan nenek Galuh.  

  Itulah aliran hidup, mengalir dan mengalir. Kini dauan yang menjalur di permukaan hidup semakin kecil, reput dan pudar. Haripun terselak dengan cepat sehingga kerap ,kita lupa dengan siapakah kita bertutur seminggu lalu, dua hari lalu, atau semalam atau pagi tadi…kau selalu bersendiri juga meniti hari.   Kecepatan putaran masa dan hari ini jugalah membuatkan saya selalu ingin cepat bertindak. Melakukan  kerja itu bersendirian, memberi idea, dan cepat ingin melaksanakannya. Kadang-kadang terlupakan protokol, dengan siapa saya bertutur, dengan YB bergelar Datok Amzah, Tan Sri Datok Sri Ahmd Sar ke, dengan Ku Yah Puteri Raja ke, dengan penjual tauge di Pasar Tanjung Karang ke,  sehingga saya tersentak bila ada ungkapan berbunyi, “…You baru di sini, jadi acara pertemuan ini harus diatur lebih awal, apa lagi nak bawa orang luar ke pusat ini…” Saya tersentak dengan kejahilan ini. Baru tersedar saya sudah bersara dan kalaupun menyambung tugas di tempat pilihan ini pun tanpa ada jabatan khas, hanya sebagai penyelidik berstatus sarjana tamu. Kecuaian saya lagi, tidak bertemu secara berdepan dengan sang ketua 1, hanya melapor kepada ‘pegawai kecil’ tentang acara pertemuan dengan pakar sebidang kami. Sedang impian saya tetap satu, untuk membina kerjasama penyelidik yang bidangnya masih tertinggal dibandingkan dengan bidang sastera dan sains teknolgi.  Inilah langkah harian saya yang cepat dan selalu dianggap tergesa itu. Pada hal ia sudah terencana dan tercanai dalam otak sejak saya memilih pusat ini untuk terus melakukan penyelidikan. Nah, buat kami dan kawan-kawan seusia harus patuhi ruang dan waktu kerja anda. Biar lambat asal selamat. Adakah waktu untuk saya kalau berjalan dengan lambat itu. Tuhan kuserahkan segala Arah Cipta-MU.

Bangi

26 Julai 2007: 13:40 - 14:53 

 

Posted by Siti Zainon Ismail at 08:01:50 | Permalink | Comments (3)

ARUS YANG MENGALIR KE HULU KE HILIR?

26 Julai 2007

KHAMIS

MEMANG kerap saya melangkah dengan cepat tergesa, seperti takut tidak sampai ke arah tujuan. Beberapa kali ditegur suami, ” Melangkahlah dengan tenang, jangan tergesa-gesa, semua akan berjalan dengan baik “. Cepat sangatkah langkah saya berjalan, mendaki dan menuruni bukit  kecil di halaman rumah kami di Persiaran Bukit Takun, Taman Rimba Rawang. Rasanya tidak! Begitulah langkah ku sejak dulu. Badanpun merasa rengan dan cepat pula sampai ke arah tuju. Kadang ketika naik ke tingkat empat di bangunan ATMA, gaya begitu juga selalu , padahal, memang sedar langkah begitu tidak harus kulakukan. Usia sudah memasuki rembang petang. Beberapa orang teman sudah mula mengundurkan diri, senyap-senyap di rumah, ada yang meneruskan kerja kegemaran masa muda, mereka menjahit, menyulam, ke ruang perempuan - mengaji ke surau. Tetapi di persekitaran kediamaan lami  di kaki bukit itu mana ada surau? Kecualilah kami sering bersenja di surau Tarbiyah, Batu 4 1/4 Jalan Gombak. Atau kalau  ke malaman di jalan kami singgah saja di mana ada masjid yang berhampiran.  Begitu istimewa kalau kembali ke rumah di Bagan Tengkorak (nah nama kampung diangkat daripada perisitiwa hasil peninggalan Jepun) Tanjung Karang. Berkumpullah para penduduk yang umumnya dipenuhi komuniti keluarga Jawa-Banjar Melayu. Berdengung-dengung menahan nafas,  mendengar bisik dan deraian ketawa, ” Kabare, waras, waras Wak”. Kalau berjemaah bersama setelah berbuka puasa, dulang-dulang kueh pun dihidang, kami makan sedulang sambil menunggu azan isya’ sebelum bertarawikh. Bertegur sapa lagi, ‘ Eh, Kaulah anak si Cicik? yang kawin dengan perempuan Kelompo (Kuala Lumpur) tu ‘. Di majlis rewang - kenduri kahwin juga ada suara mencelah ” Kau tu dulu datang bakai gaun putih, ikat reben, pakai setokin dan berkasut - tahun berapa itu..ya tahun 1950an….kau  umur 10 tahun laa”. 

 Ya Tuhan hidup rupanya terus mengalir. Beberapa wanita sebayaku mengingatkan kami pernah berjumpa lebih 40 tahun lalu.  Kemudin katanya, ” Terakhir bertemu kau datang dengan         makcik dan anak kecilmu- dalam gendongan..ha ketika majlis rewang Mamat lah, ingat tak?   ” Saya cuba menjengah pula ke tempoh 28 tahun lalu, memang jelas, datang atau pulang  ke kampung itu untuk bersama meraikan perkahwinan sepupuku, Muhammad Nor lulusan  Maktab Pertanian di Serdang. Hari minggu lalu (23 Julai) di majlis perkahwinan anak sulung Muhammad Nor berjumpa pula dengan sepupu  anak bungsi Pak Long Wahab (dengan isteri pertamanya). Kami berkenalan sehingga beberapa kali dia mengulang ayat yang sama, ” setelah 64 tahun baru jumpa kau, anak Pak Ngah - 64 tahun”. Dia abang sepupu  Haji Ramli Wahab, mengenalkan diri, ” Kalau lalu ke Kampung Kuantan, Taman Kelip-kelip, singgahlah di masjid, saya Bilal di masjid Taman Kunang-Kunang.  Sungguh tercarik hati ini. Bukankah sejak tahun 1997 saya berulang alik melewati Batang Berjuntai, menghirup kopi di restoran  Kelab Golf, beberapa  kali keluar masuk ke taman Kunang-kunang (sehiungga lahirnya cerpen Kelip-kelip Lukaloka), mengambil gambar rumah-rumah lama yang masih agam, tanpa saya sedari, di masjid itu berada saudaraku Bilal Haji Ramli. Masya Allah, inilah kerabat kami, yang berstatus bilal. Pak Long Wahab bilal di Teluk Anson, Abah bilal di masjid Batu 4 Goimbak. Muhammad Nor menyambung tugas bilal, ayahnya di Bagan  Tengkorak, dan kini saya menyambut huluran tangan Bilal  Haji Ramli. Amin, sejuk terasa rohaniku rohani cucu Talib Batu Bara dan Galuh.  

  Itulah aliran hidup, mengalir dan mengalir. Kini dauan yang menjalur di permukaan hidup semakin kecil, reput dan pudar. Haripun terselak dengan cepat sehingga kerap ,kita lupa dengan suapakah kita bertutur seminggu lalu, dua hari lalu, atau semalam atau pagi tadi…kau selalu bersendiri juga meniti hari.   Kecepatan putaran masa dan hari ini jugalah membuatkan saya selalu ingin cepat bertindak. Melakukan  kerja itu bersendirian, memberi idea, dan cepat ingin melaksanakannya. Kadang-kadang terlupakan protokol, dengan siapa saya bertutur, dengan YB bergelar Datok, Tan Sri ke, dengan Puteri Raja ke, dengan penjual tauge di Pasar Tanjung Karang ke,  sehingga saya tersentak bila ada ungkapan berbunyi, “…You baru di sini, jadi acara pertemuan ini harus diatur lebih awal, apa lagi nak bawa orang luar ke pusat ini…” Saya tersentak dengan kejahilan ini. Baru tersedar saya sudah bersara dan kalaupun menyambung tugas di tempat pilihan ini pun tanpa ada jabatan khas, hanya sebagai penyelidik berstatus sarjana tamu. Kecuaian saya lagi, tidak bertemu secara berdepan dengan sang ketua 1, hanya melapor kepada ‘pegawai kecil’ tentang acara pertemuan dengan pakar sebidang kami. Sedang impian saya tetap satu, untuk membina kerjasama penyelidik yang bidangnya masih tertinggal dibandingkan dengan bidang sastera dan sains teknolgi.  Inilah langkah harian saya yang cepat dan selalu dianggap tergesa itu. Pada hal ia sudah terencana dan tercanai dalam otak sejak saya memilih pusat ini untuk terus melakukan penyelidikan. Nah, buat kami dan kawan-kawan seusia harus patuhi ruang dan waktu kerja anda. Biar lambat asal selamat. Adakah waktu untuk saya kalau berjalan dengan lambat itu. Tuhan kuserahkan segala Arah Cipta-MU.

Bangi

26 Julai 2007: 13:40 - 14:53 

 

Posted by Siti Zainon Ismail at 07:56:39 | Permalink | No Comments »

Tuesday, July 10, 2007

KOTA TANJUNG PUTERI

10 Julai 2007

SELASA  

MEMANG saya harus mengingati terus Tanjung Puteri, sejak Daeng Ibarahim membukanya dan dillanjutkan oleh putera baginda Temenggung Abu Bakar yang dengan segaknya diberi gelar Maharaja oleh Ratu Queen dan  dengan hebatnya  memohon kebesaran dan kemudian bergelar Sultan (Sir) Abu Bakar, maka menjadi gah  Tanjung Puteri kemudian diberi nama Johor Bharu. Itulah peristiwa lebih 221 tahun lalui (1886 tarikh Temenggung Maharaja bergelar Sultan Johor) . Ada pusaka lain yang harus diingati terutama untuk Anak Melayu Johor - iaitu peristiwa kuasa di Teluk Belanga, apabila marhum Temenggung Abd Rahman dengan tegas memohon wilayah Teluk Belanga menjadi warisan keluarga Baginda. Manakala Tengku Long menjadi Sultan Melayu boneka Inggeris bergelar Sultan Hussin di Kampung Gelam. Kalau dulu Raffles menyogok wang bantuan tahunan, Crawford memecah jalan merentas kawasan istana, kini tinggallah  Gedung Kuning dalam lipatan kenangan yang  semakin tipis ingatan itu. Siapakah yang bertanya kedua-kedua kerabat utama ini tentang Marhum Sultan Hussin dan Marhum Sultan Ali, putera baginda tersisih di Tanah Melaka.  Tetapi tidak demikian dengan Sultan Abu Bakar apabila  baginda telah diterima sebagai Bapa Johor Moden - membuat pembaruan pemerintahan, politik, ekononomi dan kebudayaan. Mustahillah anak Johor tidak tahu dengan busana Melayu Teluk Belanga, meninggalkan istilah  baju Melayu Asli?

Baju Teluk Belanga = baju kurung + samping –> baju di luar samping di dalam disebut dagang luar, baju di dalam, samping di luar disebut dagang dalam. Inilah  gaya berbusana bagi mengenal orang dan pengikut Temenggung sejak di Teluk Belanga dan di bawa ke Tanjung Puteri hingga bergelar Johor Takzim. Di tambah pula dengan leher bulan berhias sulam karap tikam jari lipan –> tikam tulang belut –>tikam tulang peringgi, sebutir kancing di leher , bersongkok sendeng itulah  gaya lelaki Johor. Wanitanya? Berbaju kurung sedondong,  baju kurung labuh lepas betis,  berpisak kembang dan kekek atau berpesak gantung tanpa kekek, bersaku  di bawah dada kiri. Tambah molek, berlenggang dengan lipat ombak mengalun. Ini satu-satunya gaya wanita Johor sejak dikenalkan di Penyengat oleh Engku Puteri Raja Hamidah , yang memakai baju pisak  enam berkain ombak lipat mengalun.

Inilah sejarah dan sisa warisan budaya. Rupanya lelaki Johor lebih setia berbanding wanitanya dalam gaya berbusana. Wanita Johor kini bagai sudah melupakan ikatan sarung dengan susun oimbak mengalun. Mereka lebih ingin cepat melangkah sehingga kain disiapkan dengan susun ‘papan lapis, sarung dikemaskan dengan zip, nah melangkahlah sebebasnya….siapakah yang sempat melihat keindahan gelombang lipatan ombak mengalaun?

 ” Tak ada masa lah, kita terburu-buru bekerja, lari ke sana, muncul ke sini, nanti terburailah kain tu…? Ini lah jelas seorang guru ketika kami bertemu di bilik air sebelum seminar bermula di Selesa Hotel (6-9 Julai 20007). Terburai atau terkirai?  

Entah kenapa saya terlayang ke Kuala Lumpur. Teringatkan Kak Azah Aziz, muncul pula wajah Tan Seri Datuk Seri Dr Zetty Akhtar Aziz, yang tanda tangannya terlakar di keping wang Malasyia - Gabenor Bank Negara, yang sememangnya sebuk 24 jam, penuh acara masih saja melangkah dengan anggun, berbaju kurung, dengan kain ikat ombak mengalun! Tahniah  Kak Azah, kerana mewariskan keindahan budaya jati diri Johor kepada anakanda Zetty.

Saya lega melangkah pulang meninggalkan Tanah Tanjung Puteri walau  semakin kehilangan desah ombak memukul pantai Lido , mengadap  Selat Teberau.  

      Kampus Bangi,14.19

Posted by Siti Zainon Ismail at 07:20:22 | Permalink | No Comments »

Tuesday, July 3, 2007

AIR MATA BANGI

SELASA 3 Julai 2007

LANGIT cerah pagi ini. Saya tinggalkan studio di Templer Impian setelah sehari mengurung diri -  cuba menyiapkan glosari dan indeks buku Pengalaman Seni Budaya Aceh. Sudah lebih seminggu diterima dari Azah, editor, tetapi kerana harus menyiapkan kertas kerja Seminar Jati Diri (7-9 Julai2007) anjuran Yayasan Warisan Johor, bertambah menyediakan bahan untuk kertaskerja MASTERA di Sambas (29 Julai-6 Ogos, DPB), maka kerja itupun tergendala. Hujung minggu  bahan ini akan diserah ke Azah sebelum saya terbang ke Sambas.  Hampir satu jam, baru dapat memasuki kampus Bangi. Lenguh juga menatap  pokok rendang di batas  jalan dari Bandar Baru Bangi ke bulatan sebelum terus ke gerbang kampus, sudah rebah ditebang Majlis Perbandaran Kajang. Dalam cuaca panas hujan dan  banjir,  tiba-tiba pokok-pokok rendang pun direbahkan juga, dipotong, dicincang ranting dan dahan. Mataharipun bertambah berang dan menyeringai. Langit terbuka, awan masih juga kelabu,  kepada siapa laporan protes menebang pokok itu kusampaikan?

Di ATMA, saya sambung tugas merapikan koleksi tekstil tradisi yang sudah disimpan berpidah randah. Sejak  tahun 1991 Bendahari UKM sudah meluluskan pembelian tekstil  26 helai  dan pada tahun 1993 sebanyak  15 helai . Hampir 3 tahun kain-kain klasik  tersebut terperosok di laci almari besi di bilik pegawai Bendahari. Sehinggalah dipanggil wakil bendahari untuk mengambil dan meyimpan koleksi tekstil itu di Jabatan. Kebetulan pembelian tekstil itu diluluskan kerana adanya kursus tekstil Melayu yang saya kendalikan secara rasmi sejak tahun 1993. Saya masih terkenangkan sahabat baik Allahyarham Wan Yahya yang sejak dulu, amat gila kerjanya mengumpul dan menyelidika seni tengkolok dan samping. Sayang Tuhan lebih menyayangi dan membawanya pergi amat jauh. Alfatiha. Buku hasil kajiannya  pun siap terbit tanpa dapat ditatapi dan hingga sekarang juga Muzium Negara belum juga melancarkan buku tersebut.

Minggu lalu ketika bertemu dengan Pengarah Pustaka ATMA  (PATMA) saya cadangkan agar PATMA mempamerkan koleksi buku tekstil dan busana sesuai dengan program penyelidikan yanng sedang saya garap selama menjadi felo sarjana tamu di ATMA . Alhamdulillah   pagi ini sudah terpamer hampir 20 buh buku yang berkaiatan dengan tajuk tersebut. Kebetulan juga pada 26 Julai , Hisham  perbitan dokumtari budaya TV3 akan memanwancari tajuk busana diraja - sesuailah dengan persiapan pameran buku-buku tersebut.

Tidak sampir satu jam saya di bilik kerja ini, pintu diketuk, si gadis manis, guru bahasa sambilan di ATMA, masuk dengan linangan air mata. Aduh kenapa pula si cantik manis ini bertangisan berjumpa dengan mantan pensyarahnya,

 ” Kenapa Dina “

 ” Prof,  saya kecewa dengan acara  viva minggu lalu. Tesis saya harus dibongkar cadangan penilai - tapi pembimbing menyokong   kerja saja “

 ” Jadi ?”

 ” Saya sedih, dalam viva saya tak tahan, dan menangis”

Rupanya gadis kecil molek inilah yang dicerita oleh Dr Ros ketika kami makan siang bersama pada minggu lalu. Dina sudah berusaha memasukkan data dengan menyusun senarai  watak dalam bentuk cartat di tesisnya. Tetapi penilai tesis itu mengatakan data seperti itu tidak perlu! Tambah  Dina,

  ” Ulas penilai, teori juga lemah, seharusnya harus buat perbandingan teori Barat dan Islam tentang sastera daawah. Tapi pembimbing suruh kaji teori dahwah          menurut pandangan Islam saja, jangan kaitkan dengan teori Barat” 

Wah hanya kerana data kajian disusun dalam bentuk carta atau senarai berkotak tidak sesuai dengan kajian sastera  harus dibuang begitu saja? 

Dina inilah yang  datang  berhiba di mejaku.,

    “  saya harus mendaftaf RM 1,300. oo lagi. Wang mengajar saya pun belum cukup membayar wang pendaftaran…saya harus berjimat sehingga sudah tiga bulan tidak pulang ke kampung. Saya tidak mahu menyusahkan ayah dan nenek….” 

   ” Sudah jangan membazirkan air matamu…esok jumpa pembimbing, penilai dengan wajah cerita - anda harus kuat dan jangan pamerkan airmata kepada mereka….harus kuat, pakai baju berwarna meriah….hahaha”

Kami ketawa bersama beriring menuju kantin untuk makan siang. Akan bertemu dengan Diani untuk membincangkan antologi puisi penghuni kampus Bangi. Hore…….    

     ATMA 12.44 tgh

Posted by Siti Zainon Ismail at 05:50:57 | Permalink | No Comments »

Wednesday, May 9, 2007

LANGIT MENDUNG KUALA LUMPUR

RABU - 09 Mei 2007

(7 Mei 2007 - Innalillahi wa inna ila hiro ji un- ál Fatihah untuk arwah Redha Piyadasa yang kembali ke rahmatullah pada jam 6.15 petang. Semoga rohnya dicucuri rahmat Ilahi) 

1.

Kuala Lumpur basah pagi ini.Gerimis dan langit mendung, selalu merubah watak manusianya. Semua tergesa, kereta berderet mengejar ruang saling berpacu, memotong tidak peduli orang di kanan di kiri. Saya keluar dari Jalan Kampong Bandar Dalam. Jalan dari rumah Mak,  semakin sempit kerana disempitkan oleh lalu lalang dua hala. Ada yang masuk menuju ke Kampong Cangkat setelah melewati Kampong Padang Balang masuk ke perumahan Taman Melewar. Kampung asal kami tersepit antara lorong kecil (menjadi jalan lalu lintas) kerana mereka mengelak Jalan Gombak atau jalan ke Karak. Nama kampung kami juga tidak pernah muncul di papan tanda kecuali  nama jalan Kampong Bandar Dalam, tersisih di simpang Kampong Cubadak yang juga sudah dihilangkan dari peta DBP. Dengan sabar, Naza Ria  kami  merangkak mencelah di sebelah lori sarat papan bertindihan, di belakang bas pula berkejaran  mencelah di sisi. Keluar jam lapan sempatkah sampai ke RTM untuk acara SPM pukul 9.30. Si Melor tenang saja (ah sebab dia tidak memandu - si ibu jugalah jadi supirnya) mengarahku memilih jalan ke Taman Dato’Senu untuk sampai ke stesyen komuter Sentul Timur. Jalan semakin sesak setengah jengkel, jalan ini juga sarat kereta merangkak ke simpang empat, ke kiri langsung ke sekolah La Salle, ke kanan balik kembali ke jalan Sentul Pasar. Pesan Melor, ” Bonda lurus langsung highway tembus ke Jalan Duta “. Senang gadis ini memberi ide, si ibu pula tersangkak. Mujur juga cuaca gerimis kembali melembut darah pitamku. Deringan HP mengejutku. Intan bertanya, ” Dah sampai mana? pukul 9 harus touch-up,  9.30 lansung masuk studio “. Gila. Siapa pula mendengar seranah di hati ini. Oop.   

Ya  tekstil telepuk akan dibicarakan pagi ini. Kedua pengacara jelas tidak pernah mendengar  jauh dari melihat kain telepuk. Pengarah Muzium Selangor Puan Maimunah mencium kedua pipiku, dia sudah duduk di kerusi mengadap kamera. Saya tahu dari Intan, ” Pengarah takut kalau Prof tak datang, beliau hanya bercakap tentang  acara pameran, tapi sejarah telepuk harus Prof yang jelaskan “. Ya telepuk- telepuk…inilah antara tekstil Melayu yang telah berusia lebih 400 tahun lalu. Kain berhias air emas - disebut dalam teks sastera sebagai kain diperciki air mas, bahan seakan tepung melekat dikertas kalau disentuh mudah berterbangan maka disebut juga dalam teks sebagai perada terbang.  Tengkolok Hang Tuah juga berhias bunga bertelepuk air perada. Daeng Celak ketika bersanding dengan Tengku Mandak adinda Sultan Sulaiman Riau memakai destar batik Surabaya bertelepuk. Hingga tiba di Selangor, juga menjadi kegemaran keluarga bangsawan, menghasilkan kain telepuk iaitu kain yang telah digerus ( Bugis: garassuk ) . Selehai kain telepuk telah dihadiahkan ke Residen British, oleh DYMM Sultan Alaudin Sulaiman Alam Shah pada tahun 1923 disimpan di bilik 38A - Indian Departmen Muzium Victoria dan Albert. Lebih awal Sultan Abdul Samad juga menghasilkan kain telepuk dan menjadikan pakaian adat istiadat di istana. Permaisuri kepada Sultan Hishamudin Alam Shah juga iaitu Tengku Jameáh (1940han) telah menubuhkan kelab Pertukangan Melayu Selangor, dan mengadakan bengkel latihan menyulam, menekat dan menelepuk untuk para wanita di Negeri Selangor. Malah karya maereka dipamer dan dijual di kedai Robinson (tapaknya di hujung simpang Jalan Tuangku Abd Rahman-Tun Perak sekarang). Malah isteri Gabenor Singapura pula menyediakan ruang di Hotel Raffles  untuk mempamerkan karya seni Selangor. Sekarang di manakah telepuk itu?

Untuk acara  pameran esokpun isteri YB tidak dapat merasmikannya. Acara tetap diteruskan  -  secara sederhana  yang akan diakui oleh Pengerusi Muzium saja.Di harap selepas acara temuramah di RTM pagi ini akan didengar lihat oleh salah seorang puteri diraja buat menggugah mereka lebih 200 tahun telepuk pernah di hasilkan di istana .  

11.

Keluar dari studio RTM, langit masih meratap. Gerimis masih berderaian. Jalan masih sarat dengan kereta tersendat di jalan mewah menuju pusat bandar. Kemana sekarang? Tiba-tiba saya terganggu untuk meneruskan acara pertemuan dengan kurator Rashidah dan Zubaidah bagi membincangkan program Muzium Tekstil. Saya ingin menikmati langit kelabu Kuala Lumpur. Terbayangkan langit  Amsterdam di pagi musim luruh. Walau pun tanpa daunan mulbery berguguran dan willow bergetaran di tembok sungai Cambrige.  Sebelum  melewati stesyen LRT Bangsar tidak mungkin singgah ke Galeri Pelita Hati di Jalan Abdullah. Masih terlalu pagi. Saya membelok memasuki arah kiri, tiba-tiba terlintas kedai buku dan kepingin mereguk kopicina (ini ejaan saya ye). Mendapat akhbar pagi terpapar wajah bakal Raja Puan Besar Zara. Wow memang tepat pilihan YM Raja  DR Nazrin memilih wanita gesit, dinamik dalam bisnes, intelektual - semaraklah hendaknya istana Iskandariah. Akan lahirkah Raja Chulan 2 kelak. Insyaallah.

Di Times Book Shop apakah yang kau temui?      Woo….Crafts and The Visual Arts. Terbitan Didier Millet, 2007.  Buku ini di selenggarakan oleh Syed Ahmad Jamal. Tetapi selama proses penulisan bahan teksil Melayu dengan latar sejarahnya saya hanya dihubungi oleh Martin Cross sebagai pengurus projek. Kiri Cowie pula editor berasal dari New Zealand. Bekerja dengan mereka membuatkan kita tahu betapa berharganya waktu dan temujanji untuk perbincangan teks. Walau pun sebagian data memang saya susun semula dari buku asal Tenunan Melayu, tetapi Kiri begitu cekap mengelak dengan menambah ilustrasi baru. Hanya gambar sehelai bantal bertekad dan motif telepuk dikekalkan. Pesan Kiri, jangan bimbang teks seluruh judul (2007, 48-70) memang citramu. Kiri faham kerja seorang penulis yang juga melukis dan berpuisi.  Petang di rumah cepat ku hubungi Kiri untuk cepat dihantar buku yang baru dilancarkan pada minggu lalu yang sengaja saya tidak dapat hadir  ke Kinrara.

Tanpa diduga  di kedai buku itu saya bertemu dengan seorang wanita (kemudian dia menghulur kartu nama tercatat Datin Fatim), duduk di lantai ruang kanak-kanak, membaca majallah. Saya sendiri membelek buku-buku cerita  kanak-kanak berbahasa Inggeris cuma satu lapis rak terjumpa judul Badang. Yang lain-lain adaptasi  Angsa Liar, Pelayaran Gulliver. Mana buku berbahasa kebangsaan .  Saya menyapa wanita itu mengenalkan diri, rupanya kami sehobi. Dia menunjukkan sehelai baju yang sedang dijahit sulam hiasan. Menghabiskan masa lapang dan tengah memikirkan kertas dan  cat untuk melukis menghabis masa lapang setelah berusia 60 tahun. Setelah anak dewasa, belajar teknologi kimia tetapi akhirnya mengutip cerita masa kecil yang pernah didengarnya lalu menulis buku tentang saka dan diterbitkan oleh Alaf 21. Lucu dan menarik cerita kami di ruang kanak-kanak di kedai buku tiu.  Saya tinggalkan Datin Fatim setelah memberi tahu tiga acara menarik sepanjang bulan Mei-Jun. Esok ada pameran lukisan oleh Nora Abdullah (juga seusia 60han), di Galeri Shah Alam. 5 Jun saya sendiri akan menyampaikan ucaptama tentang Telepuk di Muzium Shah Alam. Pada 12 Jun sila datang ke Galeri Petronas, pameran sketsa  Daerah Samad oleh Sasterawan Negara A. Samad Said. Datin Fatim dengan gembira mencatat di buku kecilnya. ” Kita jumpa di sana ya “. Turun di aras dua saya masuki  pasar raya , memilih sebotol madu -multiflora, biskut kering bijiran laut, tempura flour , sekotak kismis, roti bijiran, sekotak susu nesvita - bebas lemak.  Cukuplah bekal makan malam nanti.Terima Kasih Tuhan menderaikan   gerimis , saya merasa teduh sepanjang hari.       

Posted by Siti Zainon Ismail at 14:46:32 | Permalink | No Comments »